Polis Eratkan Hubungan Dengan UKM

1
Laporan dan Foto Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 7 Jun 2016 – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ingin meningkatkan lagi  kerjasama dengan  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk faedah orang awam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid.

Beliau berharap agar aktiviti polis bersama masyarakat ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan sesama insan yang sememangnya sentiasa terjalin antara PDRM dan masyarakat awam.

“Saya mahu pegawai polis terus eratkan perhubungan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan melengkapi kerajaan dengan hospital,” kata beliau ketika melawat hospital tersebut sempena dengan sambutan Hari Polis yang ke-209 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tema sambutan tahun ini adalah Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada HCTM kerana membantu kakitangan dan keluarga PDRM.

“Berdasarkan statistik daripada Cawangan Kebajikan PDRM, tahun 2015 menyaksikan seramai 437 orang pesakit yang terdiri daripada warga PDRM serta ahli keluarga mereka telah menerima rawatan di HCTM, ” ujar beliau.

Ini merupakan peningkatan seramai 72 orang berbanding tahun sebelumnya.

Jelas beliau, bagi tahun 2016 sehingga 30 April, seramai 146 orang pesakit PDRM telah menerima rawatan di HCTM.

Datuk Sri Noor Rashid turut memaklumkan bahawa PDRM menerusi Bahagian Kebajikan, Jabatan Pengurusan sentiasa peka akan statistik warganya yang menerima rawatan di hospital tersebut.

Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof Datuk Dr Ir Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat, para Pegawai Kanan, dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP), Datin Sri Shahriza Saad.ukmnewsportal-bm
2