PPUKM Hospital Kerajaan Pertama di Malaysia mempunyai Teknologi FUSE Endoskopi


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 16 Jun 2017 – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) adalah hospital kerajaan pertama yang mempunyai teknologi Full Spectrum Endoscopy (FUSE) bagi mengesan polip iaitu ketumbuhan pada dinding usus.

FUSE adalah sistem flaksibel yang mempunyai tiub berkamera 330 darjah bagi mengesan polip dalam usus.

“Polip mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang menjadi barah dan kebanyakan yang menghidap barah usus adalah kaum lelaki yang berumur 50 tahun ke atas,” kata Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perkhidmatan Endoskopi PPUKM, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali.

Menurut beliau, endoskopi adalah prosedur mendiagnosis permukaan dalaman melibatkan esophagus, perut dan duodenum menggunakan tiub fleksibel berkamera dipanggil endoskop.

“Teknologi ini dipanggil spektrum penuh kerana tiubnya mempunyai sistem kamera yang meliputi pandangan sisi kiri, kanan, atas dan bawah.

“FUSE mempunyai liputan kamera sebanyak 330 darjah, manakala sistem endoskopi yang sedia ada di sini terhad kepada 170 darjah sahaja,” jelasya.

Beliau berkata sistem endoskopi konvensional tidak dapat mengesan polip yang terselindung di bahagian ‘lipatan’ usus.

“Jadi, penggunaan FUSE dapat mengenal pasti kawasan polip dengan lebih tepat kerana sifat tiub yang fleksibel membolehkan ia melalui dan mengesan permukaan usus kecil dan besar yang tidak sekata dan berlipat-lipat.

“Secara purata, manusia mempunyai usus sepanjang 189 sentimeter,” katanya.

Mempunyai kombinasi program canggih dan sofistaked, FUSE telah ditetapkan untuk menerima gabungan pelbagai isyarat video definisi tinggi (HD) untuk menterjemahkan paparan yang dilihat pada monitor julat tinggi 4K.

Sementara itu, seorang lagi pakar yang merupakan Ketua Pusat Perkhidmatan Endoskopi PPUKM, Prof Madya Dr Ngiu Chai Soon berkata biasanya proses mengeluarkan polip tidak melalui pembedahan.

“Polip yang dikesan semasa ujian saringan akan dibuang sepenuhnya semasa proses endoskopi menggunakan wayar gegelung forsep.

“Wayar gegelung ini akan mencengkam ketulan polip sehingga polip tertanggal dari dinding usus,” terangnya.

Beliau memberitahu bahawa setiap hari Pusat Perkhidmatan Endoskopi menerima antara 20 hingga 25 pesakit dari luar Kuala Lumpur termasuk dari Pulau Pinang, Johor dan Perak.

Mesin FUSE tersebut telah diwakafkan kepada PPUKM oleh Wakaf Selangor Muamalat.