Prof Dr Hazita Dilantik Sebagai Ahli Panel Pakar MPSKBI


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Januari 2017 – Mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Prof. Dr. Hazita Azman telah dilantik sebagai ahli panel pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI) bagi sesi 2016-2018.

Prof Dr Hazita berkata MPSKBI berperanan sebagai panel pakar untuk melihat dan memantau pelaksanaan kurikulum Bahasa Inggeris serta panduan yang baharu untuk Bahasa Inggeris yang telah digubal oleh panel kumpulan terdahulu.

“Kami memantau latihan guru, kurikulum, pengisian modul, pengajaran dan silibus Bahasa Inggeris,” katanya selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2017 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata fungsi utama MPSKBI adalah untuk menentukan standard penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dalam Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

“Selain itu, MPSKBI juga akan membuat verifikasi standard kandungan pembelajaran dan standard prestasi Bahasa Inggeris dan menyetarafkan standard Bahasa Inggeris dalam kalangan murid di peringkat pra-sekolah sehingga tingkatan enam, Matrikulasi dan latihan Perguruan di Malaysia,” katanya.

Lantikan tersebut, beliau harap, akan membawa impak yang nyata kepada perjalanan program pengajaran Bahasa Inggeris.

“Sebagai ahli panel, saya juga berharap apa jua yang disarankan oleh semua ahli panel dapat diterima dan dilaksanakan oleh kementerian,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah menyampaikan perutusan Tahun Baharu dihadapan kira-kira 3,000 pendidik dan pelajar.