Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Terima Dua Anugerah Prestij


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 November 2019 – Prof. Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid telah menerima dua anugerah berprestij dalam tempoh seminggu iaitu Anugerah United Nation Malaysia dan Anugerah Akademik Negara 2019.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri yang merupakan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah United Nation Malaysia kerana sumbangan cemerlangnya ke arah mempromosikan pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar sejak empat dekad yang lalu.

Sementara itu, pemilihan beliau untuk menerima Anugerah Akademik Negara pula adalah berdasarkan khidmat jasa dan sumbangan beliau kepada penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara, dan peningkatan kualiti kehidupan sejagat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, dan merupakan ahli Lembaga Penasihat Sains Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau dilantik oleh PBB sebagai Pengerusi Bersama Lembaga Penasihat STI Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia dan Pasifik.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri mempunyai kepakaran dalam pendidikan tinggi, sains kerajaan, diplomasi sains dan hubungan antarabangsa. Pada tahun 2017, Biofuels Digest, sebuah majalah perdagangan Amerika Syarikat yang menyenaraikannya sebagai salah seorang daripada 100 orang berpengaruh di dunia dalam bidang Bioekonomi Lanjutan. Baru-baru ini, majalah Asian Scientist yang berpangkalan di Singapura memuji beliau sebagai salah seorang daripada Top 100 Asian Scientist untuk 2019.

Beliau telah dianugerahi Profesor Emeritus oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2003 selepas hampir 30 tahun berkhidmat.