Proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM Unik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Oktober 2018 – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2018-2019 mencipta keunikan apabila kemenangan tidak didominasi oleh satu parti sahaja.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata, proses pemilihan MPP pada kali ini menunjukkan perubahan dalam sistem demokrasi.

“Bilangan calon yang bertanding menunjukkan satu perubahan dalam landskap pemilihan perwakilan pelajar bagi sesi kali ini kerana kita dapat lihat ramai pelajar lebih tertumpu untuk bertanding di Kawasan Umum, berbanding Kawasan Fakulti yang banyak kerusi dimenangi tanpa bertanding,” katanya selepas mengumumkan keputusan Pemilihan MPP, di Dewan Gemilang di sini.

Beliau berkata, UKM tidak mempunyai masalah dengan keputusan tersebut dan beliau berharap keputusan itu menunjukkan petanda yang baik kepada universiti.

“Ini menunjukkan bahawa lebih ramai mahasiswa yang ingin kehadapan bersama rakan-rakan mereka yang lain dan saya menganggap keputusan yang kita dapat pada hari ini juga menunjukkan bahawa akan berlaku penggabungan antara semua kelompok mahasiswa yang ada di UKM.

Oleh itu adalah satu perkara yang baik supaya mereka semua akan dapat bekerjasama. At the end of the day, mereka akan bekerjasama untuk menaikkan nama UKM ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” jelasnya.

Katanya, pada masa akan datang beliau berharap agar proses demokrasi itu menjadi lebih terbuka dan lebih ramai pelajar akan bertanding.

“UKM sentiasa menerima keputusan pemilihan mahasisswa secara terbuka dan kita akan terus bekerjasama dengan mereka untuk kecemerlangan dan membawa universiti terus terkehadapan,”jelas beliau.

Sementara itu, calon kerusi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Amirul Aliif Nasarudin berkata keputusan pemilihan MPP yang diumumkan itu menunjukkan keterbukaan dan kebebasan pelajar dalam memilih calon pemimpin.

“Kami akan berjalan secara satu kumpulan, satu keluarga, prinsip kami hanya satu iaitu pro kepada mahasiswa seluruhnya.

Kami ada wakil dari setiap parti dan kami akan berbincang dan akan membuat penstrukturan semula pentadbiran. Kami bekerja dalam satu kumpulan walaupun dalam parti yang berbeza, tetapi yang paling penting adalah untuk kami bekerja dalam satu pasukan dan melaksanakan manifesto.

tu keunikan kami dalam pemilihan MPP kali ini,” jelasnya.

Katanya, apa yang penting adalah janji mereka kepada pelajar untuk terus menyemak dan mengimbangi (check and balance) kepada pihak pentadbiran sebagai wakil pelajar.

Pemilihan MPP sesi 2018-2019 menyaksikan pertandingan lima parti merebut 12 kerusi kawasan Umum dan 27 kerusi kawasan Fakulti.