Rampai Penyelidik Siri 6 Kumpul 80 Hasil Penyelidikan


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 18 Julai 2018 – 80 hasil penyelidikan daripada pelbagai fakulti dan insititusi serta sekolah telah dipamerkan dalam program Rampai Penyelidik Siri-6 bertemakan STEM untuk Komuniti di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh (DTAMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, program tersebut sangat relevan dalam memenuhi tuntutan Revolusi Industri 4.0 supaya dapat terus bersaing di peringkat global.

Katanya, dalam tawaran UKM menyelesaikan permasalahan penyelidikan cabaran perdana, Rampai Penyelidik ini memberi peluang kepada semua warga penyelidik berkumpul, berinteraksi dan berkongsi maklumat penyelidikan dan ini membolehkan warga penyelidik untuk meningkatkan kolaborasi.

Beliau berkata, pendidikan dalam bidang STEM mampu mengembangkan, memelihara dan menyebarkan pengetahuan dan kemahiran yang dapat memberikan faedah kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.

“Bukan itu sahaja, program yang turut disertai oleh pihak industri, kementerian, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi, wakil komuniti, guru, murid sekolah serta warga akademik UKM dapat memainkan peranan dalam menangani permasalahan yang wujud dalam komuniti hari ini,” katanya.

Beliau berharap, penyelidikan STEM dapat menjamin negara mempunyai bekalan modal insan berpendidikan STEM yang mencukupi, disamping mewujudkan masyarakat yang celik STEM.

Program seumpama itu dapat memberi peluang penyelidik berkongsi maklumat dan meluaskan jaringan penyelidikan antara satu sama lain.

Program yang telah disertai oleh lebih 500 peserta ini dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan (FPEND) melalui kolaborasi bersama Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) dan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Naib Chanselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof  Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Dekan FPEND, Prof Dato’ Dr Norazah Mohd Nordin.