Sukan Kukuhkan Perpaduan Kaum


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 April 2017 – Aktiviti sukan berupaya mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, disamping membantu meningkatkan tahap kesihatan diri.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi berkata aktiviti sukan akan dapat memberi peluang kepada semua yang terlibat membentuk masyarakat yang lebih sopan, berintegriti dan bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan menterinya, Dato’ Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, di Karnival Sukan Pusat PERMATApintar Negara baru-baru ini.

Tambah beliau, melalui sukan, pelajar juga akan menyelami erti perpaduan, menghormati antara kaum, menanam rasa cinta kepada negara dan sanggup membantu dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Ini merupakan salah satu pengisian ke arah pencapaian matlamat konsep 1Malaysia berdasarkan penglibatan semua pelajar pelbagai bangsa, budaya dan agama,” katanya.

Katanya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sentiasa mendokong hasrat falsafah pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang.

“Dasar ini sebenarnya selaras dengan dasar sukan negara yang bermatlamat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

“Oleh yang demikian, penyertaan setiap pelajar dalam aktiviti kokurikulum adalah amat penting sebagai satu landasan untuk melahirkan pelajar yang cergas, dinamik serta bersatu padu,” jelasnya.

Beliau berkata melalui latihan sukan yang konsisten dan seimbang dari pelbagai aspek yang merangkumi minda, otot saraf dan emosi, sukan juga mampu membentuk pelajar yang cergas dan patuh kepada peraturan.

“Selain itu, sukan juga dapat membentuk pelajar yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan dan integriti yang tinggi,” ujarnya.

Karnival Sukan PERMATApintar Negara yang diadakan selama dua hari baru-baru ini turut disertai oleh pelajar dari Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Sebanyak 14 acara dipertandingkan termasuklah acaran balapan,renang, Tarik tali dan indoor game.