Tidak Terlintas Untuk Sambung Belajar, Nurhafizah Kini Raih Anugerah Emas Sarjana


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 6 November 2019 – Bermula dengan ajakan kawan, dan sedikitpun tidak terlintas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana, Nurhafizah Abdul Musid, 35, tidak mensia-siakan peluang yang ada sehingga dianugerahkan Anugerah Emas Sarjana pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-47.

Nurhafizah yang menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan (Pengukuran dan Penilaian) di Fakulti Pendidikan berkata selepas sembilan tahun meninggalkan alam universiti (Sarjana Muda), beliau tidak memasang cita-cita untuk menyambung pelajaran lagi, sebaliknya beliau mahu menumpukan pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi mendidik anak bangsa.

“Pada mulanya kawan saya yang sama-sama mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Naning, Alor Gajah yang mengajak saya untuk mengisi borang biasiswa HLP (Hadiah Latihan Persekutuan), tetapi saya tidak terus mengisinya.

“Selepas dia (kawan) isi borang, barulah saya dan seorang lagi kawan mengisi borang tersebut, dan daripada kami bertiga yang menghantar borang, hanya dua orang sahaja yang diterima untuk ditemuduga, dan akhirnya saya yang terpilih mendapat HLP tersebut,” katanya.

Beliau berkata peluang yang diberikan itu digunakan sepenuhnya bagi melakar kejayaan.

“Sepanjang pengajian saya, saya menggunakan masa yang ada untuk membaca jurnal-jurnal antarabangsa dan tempatan, dan saya rasa semua orang pun tahu jika kita ingin menulis tesis dengan baik, kita kena rajin membaca,” katanya.

Beliau berkata setiap hari beliau akan menulis tesis walaupun hanya satu atau dua ayat kerana beliau mahu memastikan tesisnya itu ada kemajuan (progress).

“Sepanjang pengajian saya ini, saya nak ucapkan terima kasih kepada penyelia saya iaitu Dr. Haryanti Mohd Affandi yang telah berjaya membawa saya mengenali potensi diri dan mencuba sebaik mungkin untuk saya berjaya,” katanya.

Beliau juga mengakui bahawa sokongan daripada orang sekeliling terutamanya keluarga, para pensyarah dan kawan-kawan telah membantunya untuk berjaya.

“Jangan menganggap kejayaan kita adalah datang dari diri kita sendiri. Saya rasa itu bukanlah sesuatu yang tepat kerana kejayaan kita turut disumbangkan oleh sokongan dan bantuan orang sekeliling,” katanya.

Beliau kini meneruskan perkhidmatannya di Kementerian Pendidikan Malaysia.