UKM Bakal dijadikan Pusat Pembentukan dan Latihan Smart State Selangor


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto oleh Mohd Nazirudin Jailani

BANGI, 2 Mac 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dijadikan sebuah pusat pembentukan dan latihan negeri pintar (Smart State) Selangor yang akan dirasmikan pada bila-bila masa dalam tahun ini, kata Menteri Besar (MB) Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, UKM dipilih kerana universiti itu memainkan peranan sebagai salah satu konteks yang penting dalam pembangunan negara.

“Pihak kerajaan negeri Selangor juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk merangka dan mencepatkan proses pembentukan Smart State agar dapat dijayakan menjelang tahun 2025 berdasarkan garisan pelan induk yang telah ditetapkan pada tahun 2016,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Program Temu Rapat dan Makan Malam Sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, di Dewan Sutera, Kolej Ibu Zain di sini.

Dalam ucapnnya, Dato’ Seri Amirudin menjelaskan bahawa kerajaan negeri Selangor adalah sebuah negeri yang mengisytiharkan negeri premium pintar (Premium Smart State) menjelang pada tahun 2025.

Smart State satu rangka kehidupan iaitu dengan usaha kerajaan negeri dalam membina infrastruktur yang baik untuk keselesaan rakyat serta sentiasa berpandangan kehadapan,” katanya.

Untuk tahun ini, UKM menjadi universiti pertama bagi lokasi siri Jelajah Maju bersama Menteri Besar Selangor. Pada tahun lepas, program tersebut telah singgah di Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam.

Pada program tersebut, beliau beramah mesra dan menjawab soalan-soalan mahasiswa dalam sesi dialog serta memberi perkongsian mengenai perkembangan terbaharu berkaitan negeri Selangor.

Beliau turut memberi peringatan pada mahasiswa  bahawa universiti adalah salah satu platform dan pintu yang agak selesa untuk mereka membuka jalan masa hadapan serta mengeksplorasikan potensi dan cabaran masa depan.

Siri jelajah itu diadakan bagi mengeratkan hubungan antara MB Selangor bersama warga kampus UKM dan memberi pendedahan dan mempromosikan agenda berkaitan Smart State Selangor.