UKM dan PNU Tingkatkan Kerjasama Dalam Pengajaran

Oleh Siti Lailatul Mastura

BANGI, 9 Disember 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Princess of Naradhiwas University (PNU), Thailand meneruskan kerjasama buat kali kedua dalam bidang pengajaran, penyelidikan, dan pertukaran tenaga akademik.

Jalinan kerjasama itu bertujuan mewujudkan platform kepada pelajar antara kedua-dua universiti untuk berinteraksi dalam aspek akademik, bahasa dan kebudayaan, serta membuka peluang pertukaran pelajar dan latihan industri bagi pelajar UKM dan PNU.

Pengarah Akademik Pengajian Islam dan Arab, PNU, Prof Madya Cheloh Khaekphong berkata, kerjasama yang terjalin itu akan dapat meningkatkan taraf pendidikan antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.

Melalui Memorandum Perjanjian  (MoA) yang telah ditandatangani, beberapa aktiviti telah dirangka seperti penganjuran International Conference On Islam, Development and Social Harmony in Southeast Asia (ICDIS) 2019 di UKM dan pada tahun 2021 akan diadakan di PNU, serta pertukaran tenaga akademik melalui program Pelantikan Pensyarah Pelawat dan Profesor Pelawat.

Jalinan kerjasama itu juga secara tidak langsung memberi pendedahan pengajaran dan pembelajaran berguna kepada pelajar dan staf akademik yang terlibat dalam program pertukaran dan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik Malaysia dan Thailand serta berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang akademik, sosial dan kebudayaan antara kedua universiti, katanya.