UKM Dipuji Sertai Program Latihan Industri Rapat Jurang Hubungan Kaum

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 13 June 2016 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan empat universiti awam yang lain telah dipuji kerana membantu merapat jurang hubungan kaum di tempat kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Panglima Joseph Kurup berkata  Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) yang telah memasuki siri kedua dapat mengukuhkan dan menyatukan perpaduan dalam kalangan pelajar bumiputera dengan pekerja dan majikan bukan bumiputera.

Katanya, melalui PLIP, pelajar boleh berinteraksi dengan pegawai-pegawai dan kakitangan daripada pelbagai kaum, sekali gus dapat memahami kebudayaan serta agama kaum lain.

Lima universiti yang terlibat dalam MoU itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Kesediaan majikan bukan bumiputera menerima pelajar bumiputera bekerja memberi petunjuk positif dalam memupuk perpaduan dan kefahaman silang budaya serta silang kerja dalam kalangan pelajar, pekerja dan majikan yang berbilang kaum tercapai.

“Kesediaan pelajar bumiputera menerima tawaran bekerja di syarikat bukan bumiputera turut membuka ruang yang lebih luas untuk mereka menimba pengalaman, kebolehan, kemahiran dan keyakinan berinteraksi dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program PLIP Siri 2 antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), lima universiti tersebut, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) di sini pada 18 Mei lalu.

Menurut beliau hubungan dua hala itu dapat menangkis tanggapan negatif dan prasangka terhadap syarikat bukan bumiputera yang kononnya kurang berminat untuk mengambil pekerja bumiputera bekerja di syarikat mereka.

“Situasi ini bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham, buruk sangka dan prejudis tetapi ia boleh membantutkan perkembangan ekonomi negara jika tiada usaha untuk menanganinya,” ujarnya.

Beliau berkata program itu secara langsung bukan sahaja mensejahterakan masyarakat tetapi apa yang lebih utama adalah mengoptimumkan tenaga kerja muda bagi meningkatkan produktiviti negara.

“Saya harap PLIP ini dapat diperluaskan ke syarikat kerajaan (GLC) yang majoritinya bumiputera, untuk menerima pelajar bukan bumiputera menjalani latihan industri,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata UKM akan memantau dari segi impak program tersebut.

“Bagi saya ia adalah program latihan industri yang bagus kerana ia membantu dalam meningkatkan perpaduan kaum di negara kita. Kita akan bagi kerjasama sepenuhkan kepada syarikat yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata untuk permulaan, pelajar yang akan terlibat dengan program tersebut terdiri daripada pelajar dari Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“Kita akan menggerakkan fakulti-fakulti tersebut dalam memilih pelajar melalui database dan juga senarai syarikat yang ada untuk mereka mengambil bahagian dalam menghantar pelajar menjalani latihan industri,” beliau menegaskan.ukmnewsportal-bm
2

3