UKM Jalin Kerjasama dengan Northwest Minzu University


Oleh: Nastura Nasir
Gambar oleh: Ikhwan Hashim

BANGI, 31 Januari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Northwest Minzu University (NWMU), China telah menandatangani sebuah Surat Hasrat (LoI) bagi memperkasakan kerjasama akademik antara dua negara.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, yang diwakili oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM berkata, LoI yang bakal berkuatkuasa selama tiga tahun ini adalah untuk mengadakan lebih banyak penyelidikan, pendidikan, pertukaran pelajar, rundingan, dan penerbitan.

Tambah beliau, kerjasama ini akan memanfaatkan kedua belah pihak dari segi perkongsian kepakaran, penyelidikan dan penerbitan.

Naib Canselor telah menandatangani LoI ini bagi pihak UKM, manakala NWMU diwakili oleh Naib Presiden, Wang Zhaxi.

Wang juga dalam ucapannya menjelaskan, NWMU telah mendapat peruntukan sebanyak 20 juta untuk mereka membuat kerjasama dengan negara-negara Islam.

Justeru, Malaysia dilihat sebagai antara negara Islam yang paling maju dalam bidang Sains dan Teknologi dan UKM sebagai sebuah universiti yang mempunyai banyak potensi terutamanya dalam bidang penyelidikan.