UKM Lancar Dana Penyelidikan Ilmu-ilmu Islam

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman, Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 28 Jan 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Dana Penyelidikan Pengembangan dan Pembangunan Ilmu-ilmu Islam bagi memartabatkan peranan Pusat Islam UKM di persada antarabangsa.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata dana itu adalah bagi mengilhamkan peranan Pusat Islam UKM seperti Oxford Islamic Centre yang terkenal dengan imejnya di persada antarabangsa sebagai pusat rujukan Islam.

“Saya harap penyelidikan yang dijalankan tidak terhad kepada pengembangan ilmu wahyu semata-mata tetapi perlu juga melibatkan ilmu akliah dan bidang-bidang yang berkaitan bagi menyerlahkan lagi peranan masjid dan Pusat Islam dalam masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UKM di sini semalam.

Beliau berkata penyelidikan yang dijalankan juga perlu melibatkan semua bidang dan fakulti di UKM termasuklah bidang perubatan yang boleh menyumbang idea dan kepakaran bagi pembangunan masyarakat menerusi platform Pusat Islam.

“Kita nak perkasakan Pusat Islam. Pusat Islam bukan hanya mengadakan majlis korban, menguruskan operasi, keperluan dan perjalanan kehidupan berkaitan agama di kampus ini tetapi Pusat Islam juga seharusnya menjadi sebuah pusat yang ada kesarjanaan,” katanya.

Prof Noor Azlan berkata dalam konteks itu, beliau mahu fakulti-fakulti di UKM seperti Fakulti Undang-Undang mengkaji ilmu undang-undang dalam konteks Islam, Fakulti Sains dan Teknologi mengkaji ilmu sains dan teknologi berlandaskan agama Allah.

“Semoga hasilnya nanti dapat memberi impak yang berkesan kepada UKM, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengingatkan warga UKM agar menjadikan sambutan Maulidur Rasul ini sebagai satu suntikan baru untuk terus maju.

“Kita letakkan niat bahawa apabila kita laksanakan sesuatu dengan penuh keimanan, ketakwaan, kepatuhan kepada Allah dan ketaatan kepada Rasulullah, insyaAllah kita tidak akan terpeseong,” katanya.

Pada majlis itu, Prof Noor Azlan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Membaca Al-Quran, Pertandingan Menulis & Menyampaikan Tazkirah, Pertandingan Menulis Khat dan Perarakan Maulidur Rasul.

Untuk Perarakan Maulidur Rasul, Jabatan Pendaftar telah dinobatkan sebagai Johan, Fakulti Sains dan Teknologi merangkul tempat kedua dan tempat ketika telah diraih oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.ukmnewsportal-bm
02

03

04