UKM Tandatangan MoA Tubuh KHUAM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 19 Jun 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Perubatan UKM, bersama empat Universiti Awam lain telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) menubuhkan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) beru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata inisiatif penubuhan KHUAM adalah langkah awal yang akan memberi impak dan manfaat yang signifikan kepada perkembangan sektor penjagaan kesihatan yang disediakan oleh Hospital Pengajar Universiti.

“Penubuhan konsortium ini akan menjadi platform diperingkat nasional bagi menyelaras secara bersepadu dan bersifat lebih agresif terutama dalam usaha menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf global.

“Selain itu, penjenamaan semula Hospital Pengajar Universiti dapat memberi manfaat dan meneroka bidang baharu seperti pelancongan kesihatan, pemasaran dan galakan bagi persekitaran hidup sihat, pengurangan kos, perkongsian sumber, penyelarasan data pesakit, peningkatan kepakaran atau inkubator pakar perubatan serta peningkatan kolaborasi hasil penyelidikan dan inovasi,” katanya pada majlis tandatangan tersebut.

Beliau berkata dengan termeterainya perjanjian itu, transformasi dalam bentuk tadbir urus yang inovatif kepada semua Hospital Pengajar Universiti boleh dilihat dengan unjuran sekurang-kurangnya lebih 30 peratus penjimatan kepada pembelian ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

“Selain itu, peningkatan kapasiti penyertaan pakar perubatan dan pakar baharu sebanyak lima hingga 10 peratus melalui program mobiliti dan lima peratus penjanaan pendapatan melalui aktiviti pelindungan insurans kesihatan atau pelancongan kesihatan,” ujarnya.

Beliau berharap agar penubuhan konsortium itu akan menjadi penanda aras baharu kepada semua yang terlibat untuk memastikan supaya Hospital Pengajar Universiti khususnya dan bidang penjagaan kesihatan di Malaysia amnya, menjadi yang terbaik di dunia.

Empat lagi Hospital Pengajar Universiti yang turut sama menandatangani MoA tersebut adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA.

Pada majlis itu, enam universiti yang menawarkan program perubatan tetapi belum mempunyai hospital pengajar telah menandatangai aku janji sebagai tanda sokongan. Universiti-universiti itu ialah Universiti Putra Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata penubuhan konsortium itu adalah langkah yang bijak kerana Hospital Pengajar Universiti dapat berkongsi kepakaran dalam bidang perubatan.