UPS-OKU Beri Kemudahan Kepada OKU


Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Disember 2019 – Dalam melaksanakan Dasar Inklusif orang Kurang Upaya (OKU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menubuhkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan Orang Kurang Upaya (UPS-OKU) bagi membantu OKU dalam kalangan pelajar dan staf yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, penubuhan unit itu adalah selari dengan amanat dan keprihatinan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang telah melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di Institusi Pendidikan Tinggi pada 5 September 2019.

Katanya dasar yang dilaksanakan bertujuan menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar lain menerusi garis panduan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain Polisi Inklusif OKU, UKM mendukung Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) dan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022 yang berpaksikan kepada Konvokesyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Convention on the Rights of Person with disabilities).

“Polisi ini juga untuk meningkatkan Aksebiliti OKU, memperkasa ekonomi OKU dan meningkatkan akses OKU kepada pendidikan.

“Ia juga bertepatan dengan matlamat utama Incheon Strategy untuk ‘menjadikan hak sebenar’ bagi OKU di Asia dan Pasifik serta berpandukan kepada Sustainable Development Goals (SDG) yang menekankan Pendidikan Berkualiti dan Mengurangkan Ketidaksamaan,” katanya.

Beliau berkata, UKM percaya dengan adanya UPS-OKU, kebajikan warga OKU UKM akan lebih terjamin dan dapat diperkasakan peranan mereka seiring dengan rakan-rakan bukan OKU yang lain.

Majlis peancaran penubuhan unit itu diadakan serentak dengan Hari OKU Kebangsaan yang diraikan di peringkat UKM bertemakan “Penyertaan OKU Tiada Yang Tertinggal Dalam Agenda Pembangunan 2030”, dan telah dirasmikan oleh Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

UKM mempunyai seramai 45 pelajar OKU yang sedang belajar di peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah di 13 fakulti dan 12 Institut.