Usaha Dan Doa Mengiringi Kejayaan Penerima Anugerah Naib Canselor

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 November 2016 – Berkat doa dan usaha yang tidak putus-putus, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ummikalsum Mat Lazim, 24,  telah berjaya meraih Anugerah Naib Canselor  pada Majlis Konvokesyen ke-44 UKM.

Beliau yang berasal dari Baling, Kedah dan juga merupakan anak kepada pesara guru berkata sepanjang berada di UKM, beliau sentiasa memberi fokus kepada sesi pembelajaran dan selalu bertanya kepada pensyarah jika tidak faham dan melakukan solat hajat setiap minggu.

“Berkat doa kedua ibu bapa yang tidak jemu mendoakan kejayaan saya, dan doa para pensyarah serta tunjuk ajar yang diberikan telah mendokong saya sepanjang saya berada di UKM sehingga berjaya ke tahap ini,” katanya.

Beliau berkata kejayaannya terinpirasi daripada ibunya yang juga merupakan alumni FPI, sekitar tahun 80-an yang lalu dan ia membangkitkan lagi semangatnya untuk terus berjaya.

Walaupun beliau  seorang mahasiswa UKM, tetapi beliau tetap aktif melibatkan diri dengan aktiviti luar kuliah.

Antaranya, beliau merupakan seorang guru Al-Quran di surau Al-Bukhari Taman Universiti dan menjadi finalis program realiti Akademi Pendakwah Muslimat anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disiarkan  di TV1.

“Ini merupakan cabaran bagi saya untuk menyusun jadual sepanjang saya bergelar seorang mahasiswa, dan saya pegang kata-kata Imam Hassan Al-Banna, bahawa kewajipan itu melebihi masa yang ada.

“Jadi, saya akan mencapai sasaran untuk menjadi seorang mahasiswa yang berjaya,” katanya.

Ummi juga turut menasihatkan mahasiswa yang lain supaya belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu yang dipelajari itu akan memberi manfaat kepada masyarakat disekeliling.

Beliau yang mengumpul Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83 berharap anugerah yang diterima ini akan menjadi inspirasi buat mahasiswa lain untuk terus melakar kejayaan.

Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian sarjana berhasrat untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pendakwah yang dapat memberi kesan kepada perubahan masyarakat.ukmnewsportal-bm
2