Dasar Kepenggunaan Negara diumum sebelum akhir tahun, Dato’ Sri Sabri Yaakob

SELASA, 13 JULAI 2010 17:59

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 13 Julai, 2010 –  Kerajaan akan mengumumkan Dasar Kepenggunaan Negara sebelum akhir tahun ini yang akan dijadikan garis panduan untuk menangani isu-isu dan masalah kepenggunaan semasa,  demikian dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya dasar tersebut sedang dirangka dan kini di peringkat akhir yang akan mencakupi semua isu yang relevan dengan kepenggunaan termasuk penipuan melibatkan internet dan kes seumpamanya.

Beliau menyatakan demikian  ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) ke 14 , anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan bertemakan Halatuju Penyelidikan Kepenggunaan: Isu dan Cabaran, di Bangi hari ini. Seminar dua hari itu membincangkan 60 kertaskerja dihadiri lebih 100 peserta mewakili pelbagai sektor dan NGO.

Dato’ Sabri berharap perbincangan kali ini akan memberi manfaat kepada banyak pihak khususnya dalam membicarakan kaedah penyelidikan dan penemuan terkini dalam kajian kepenggunaan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Rahmah Mohamed dalam ucapannya berkata seminar itu  diharap dapat mengupas implikasi dasar ekonomi dan kepenggunaan terutamanya apabila negara sedang menghadapi pelbagai isu kepenggunaan seperti kenaikan harga minyak, gula, kekurangan bekalan makanan dunia, pemanasan global, kerosakan alam sekitar, subsidi  dan lain-lain.