Penyelidik UKM bantu dua NGO perangi dadah

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2010 18:32

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Abd Raai Osman

BANGI, 11 Nov. 2010 – Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membantu dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menggiatkan lagi usaha memerangi penyalahgunaan dadah dengan termeterainya Surat Hasrat Untuk Bekerjasama antara mereka hari ini.

Mengikut Surat Hasrat itu, UKM akan bekerjasama dalam aktiviti penyelidikan dengan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

UKM juga akan bekerjasama menganjurkan seminar, bengkel dan lain-lain program pembangunan insan selain berkongsi maklumat dan sumber ilmu dalam membangunkan ummah.

UKM diwakili Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof. Dato’ Dr Mohd Yusof Othman; Pertiwi oleh Ketua Satunya, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Pemadam oleh Setiausaha Biro Antarabangsa, Mustapha Ma di majlis menandatangani Surat Hasrat Untuk Bekerjasama itu.

Satu forum bertajuk “Wanita Memerangi Dadah” telah diadakan sempena acara itu dengan disertai Dzulfefly Abdullah, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Luar Negeri; DSP Nafisah Adam, dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan Lasimon Matokrem, Pengarah Pencegahan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).

Felo Kanan Bersekutu Institut Islam Hadhari, Prof.Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal bertindak sebagai moderator.

Dzulfekly berkata perhatian diberikan juga kepada wanita berikutan peningkatan bilangan mereka yang mudah menjadi ‘keldai dadah’ sejak akhir-akhir ini walaupun pada hakikatnya peratusan mereka yang menagih kurang dari dua peratus daripada 280,000 penagih di negara ini.

Beliau mengingatkan ahli keluarga khususnya ibu bapa untuk sentiasa mengambil berat kegiatan anak-anak mereka terutama yang secara tiba-tiba ingin bercuti ke luar negara.

Mereka harus tahu dengan siapa dan ke mana anak-anak mereka itu hendak pergi demi mengelak golongan muda terutama wanita mudah menjadi mangsa dengan dijadikan ‘keldai dadah’ oleh sindiket dan lelaki kasanova.

Akibat sikap leka dan lepas tangan ini, ramai wanita tertipu. Hingga kini sembilan wanita Malaysia telah dihukum mati iaitu empat di Thailand, dua di Singapura dan tiga di China kerana kesalahan membawa dadah.

  

Selain itu 24 lagi wanita Malaysia sedang ditahan dalam penjara di Thailand, 18 di Australia dan 16 di China dengan yang paling muda berusia 19 tahun dan paling tua 52 tahun.

Siasatan menunjukkan hampir semua ‘keldai dadah’ itu tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia dan biasanya bekerja dalam jurusan penjualan dan perkhidmatan.

Dzulkefly mengingatkan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dengan janji gaji lumayan. Mereka juga harus sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan pujuk rayu pemuda luar negara yang dikategorikan sebagai kasanova.

Lasimon pula menjelaskan AADK menganjurkan program Outreach (Dampingi) dengan golongan bermasalah dan keluarga yang berisiko tinggi yang terdedah kepada penyalahgunaan dadah.

Ia juga menganjurkan program Ziarah Kasih; Anakku Permataku selain menjalankan rancangan membantu pemulihan oleh kumpulan kaunselornya di samping gerakan antidadah.

Forum turut diberitahu oleh DSP Nafisah bahawa PDRM banyak bergantung pada maklumat perisikan dalam usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.

Pada amnya masalah penyalahgunaan dadah di negara ini terkawal berbanding dengan negara lain terutamanya Amerika Latin.