Pensyarah UKM dipilih untuk menerima anugerah Akademik Negara

KHAMIS, 07 OKTOBER 2010 17:17

Oleh Shahfizal Musa

BANGI,  6 Oct.  2010 –  Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali telah dipilih untuk menerima Anugerah Akademi Negara (AAN) 2009 kerana komitmen tinggi yang ditunjukkannya untuk mendidik dan menghasilkan golongan doktor pelapis muda negara yang cemerlang.

Anugerah itu adalah untuk kategori Pengajaran bagi Kelompok Kesihatan dan diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.  AAN diberikan kepada pensyarah yang komited kepada proses penemuan ilmu dalam menghasilkan pelapis untuk masa hadapan. Ia adalah satu pengiktirafan kerajaan kepada pensyarah yang mengharumkan nama negara  di dalam dan luar negara.

Prof Raymond yang juga Pakar Perunding Neurologi di Pusat Perubatan UKM (PPUKM)  dipilih menerima anugerah itu kerana sumbangannya melahirkan doktor yang cemerlang dan dapat memberi rawatan terkini kepada pesakit.

Di lahirkan di Pulau Pinang, Prof Raymon, 50, menerima ijazah  M.B.B.S (Hons) daripada Monash University Australia pada tahun1984 dan ijazah sarjana dalam bidang perubatan daripada National University of Singapore pada 1989. Beliau kemudiannya berjaya mendapatkan ijazah Doktor Perubatan (MD) dalam bidang Neurologi dari Monash University pada 1996.

Beliau memulakan kerjayanya di PPUKM sebagai pensyarah pelatih pada tahun 1987 dan kini terkenal sebagai salah seorang pakar yang terbaik dalam bidang neurologi dalam negara.

Antara sumbangannya adalah dalam bidang rawatan angin ahmar di mana beliau dan ahli perubatan UKM telah menubuhkan  ‘The Kuala Lumpur Regionalised Integrated Stroke Intervention System’ (KRISIS) yang mampu memulihkan sepenuhnya pesakit yang diserang angin ahmar dengan kaedah ‘strok reversal’.

KRISIS adalah satu pasukan khas untuk merawat angin ahmar.  KRISIS juga melatih para doktor untuk membuat strok reversal tanpa membahayakan nyawa pesakit. Semua ahli KRISIS daripada pegawai perubatan dalam ambulan sehingga ke radiologis telah terlatih untuk menyelamatkan pesakit angin ahmar daripada mengalami kecacatan seumur hidup.

Peranan Prof  Raymond menubuhkan KRISIS  telah memberi  harapan baru kepada pesakit angin ahmar. Buat masa sekarang beliau dan ahli perubatan KRISIS sedang sibuk memastikan doktor di seluruh negara dapat memberikan rawatan itu.

Banyak doktor masih beranggapan bahawa rawatan angin ahmar adalah pencegahan dan pemulihan. Tetapi Prof Raymond berpegang kepada prinsip bahawa doktor perlu di didik untuk memberi manfaat kepada pesakit .