Peminggiran Pandangan Kemanusiaan Boleh Menjejaskan Projek Besar

SELASA, 10 JULAI 2012 15:45

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI 9 Julai 2012 –Projek pembangunan yang membawa kesan kepada masyarakat perlu mendapat pandangan pakar sains sosial dan kemanusiaan untuk mengukur reaksi rakyat supaya akibat buruk yang tidak disangka dapat dikurangkan atau dielakkan sama sekali.

Perintis penyelidikan kemasyarakatan Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata ahli sains dan teknologi harus mendapatkan pandangan pakar kemasyarakatan dan kemanusiaan mengenai akibat sesuatu projek ke atas kepentingan manusia.

Prof Shamsul, Pengasas Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kajian yang dilakukan oleh pakar sains sosial bertujuan untuk memelihara keamanan, kestabilan dan perpaduan sosial.

Ketika menyampaikan ucaptama beliau bertajuk, ‘Jalan yang berliku: Menerapkan Sains Sosial dalam Penyelidikan dan Pembangunan di Malaysia’, pada Persidangan Antarabangsa ke-8 Pengajian Malaysia (MSC8) di sini hari ini, beliau memberi contoh kemarahan rakyat akibat pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Prof Shamsul berkata kiranya pihak berkuasa telah berunding dahulu dengan mendapatkan input dan pandangan pakar kemasyarakatan, reaksi orang ramai di luar dugaan itu mungkin dapat di ramal dan usaha meredakan kemarahan boleh dirancangkan.

Beliau menyifatkan keadaan di mana telah wujudnya perasaan kurang peka kepada suara rakyat sebagai suatu aspek yang timbul berikutan dengan dominasi sains dan teknologi dalam pembangunan semasa.

Pada keseluruhannya, kata beliau, penyelidik dalam bidang sosial dan kemanusiaan merasakan bahawa mereka telah dipinggirkan kerana kehendak sains dan teknologi terlalu diberikan keutamaan dalam pembangunan.

Beliau melahirkan rasa kesal bahawa kini sesetengah penggubal dasar melihat bidang kemanusiaan dan sosial sebagai “bukan sains sebenar” kerana penyelidikan mereka tidak menghasilkan benda ketara atau artifak seperti rekaan teknologi.

Penyelidik persoalan sosial dan kemanusiaan perlu disertakan ke dalam penyelidikan dan pembangunan bersama dengan pakar teknologi dan jurutera.

Dengan itu beliau menyeru dana dan geran yang lebih banyak diperuntukkan supaya penyelidikan mengenai kemanusiaan dan sosial boleh dijalankan.

Prof Shamsul berpendapat penyelidikan mengenai keadaan sosial dan kemanusiaan telah diketepikan kerana pihak yang membuat keputusan tidak menganggap input sosial dan kemanusiaan diperlukan dalam bidang yang memerlukan sains alam dan kejuruteraan.

Beliau mengingatkan bahawa pihak bewajib jangan sekali berpuas hati dengan pembangunan material sahaja, kerana keamanan dan kestabilan adalah ciri-ciri murni yang harus dipelihara.

Perpaduan sosial di negara ini bukan mudah dicapai dan ia harus diteliti dan dikaji untuk mengesan sebarang rasa kurang puas hati, tambah beliau.

Ini memerlukan tahap pelaksanaan pemantauan yang lebih tinggi dan seterusnya memerlukan penyelidikan yang mampan secara besar-besaran di seluruh negara.

Bagaimana pun Prof Shamsul memuji kerajaan kerana menubuhkan Persatuan Sains Sosial Malaysia pada tahun 2007, yang dijangka disahkan secara rasmi oleh Dewan Rakyat tahun ini.

Prof Shamsul adalah salah satu daripada tiga orang Profesor Ulung yang dilantik pada tahun 2010 oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan merupakan yang pertama dalam bidang sains sosial.

Pada tahun 1978, sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Sains Sosial Malaysia, beliau membantu untuk mendaftarnya dengan Pendaftar Pertubuhan. Kira-kira 35 tahun kemudian pada tahun 2009, beliau dilantik sebagai Kursi Pro-tem, Akademi Sains Sosial dan Kemanusiaan (ASAH), yang kini menunggu untuk disahkan Parlimen.

Persidangan tiga hari dwi tahunan mulai hari ini telah dibuka secara rasmi oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Profesor Datuk Dr Noor Azlan bin Ghazali. Kira-kira 160 peserta dari seluruh Dunia menghadiri dan membentangkan kertas kerja mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof Noor Azlan mencadangkan kurikulum dan program pengajian Sains dan Kejuruteraan di universiti dikaji semula supaya menjadi lebih seimbang dengan mengadakan mata pelajaran kemanusian sebagai suatu subjek pilihan.

Prof Noor Azlan berkata Pengajian Sains perlu dibentuk secara menyeluruh dengan siswazahnya juga mempelajari sejarah dan ilmu alam.

Beliau menyarankan supaya penyelidik sains sosial mengkaji kesan ke atas rakyat akibat penghijaran mereka dari desa ke kota.

Asas masyarakat di negara ini, katanya, telah banyak berubah sejak kebelakangan ini dan cara hidup mereka di bandar juga mengalami kejutan akibat pemindahan beramai-ramai.

Prof Noor Azlan berkata penghijrahan ke bandar itu telah mengubah cara orang ramai berinteraksi antara satu sama lain dan berpandangan bahawa walau pun mendiami kawasan padat dengan orang, mereka dari kampung merasa terpencil atau terasing kerana semangat komuniti perkampungan yang wujud di kampung tidak terdapat dalam kehidupan di kota.