Perusahaan Burger Mr. Junior Bawa Kemenangan Kepada Pasukan UKM

SELASA, 31 JULAI 2012 00:00

Oleh Nastura Nasir
Foto Azmeer Nasri

BANGI, 31 Julai 2012 – Perusahaan burger MR Junior Enterprise yang dijalankan oleh 11 orang pelajar UKM di Kajang membawa tuah kepada mereka apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi kategori dua (IPTA/S) dalam Konvensyen 1 Malaysia Young Entrepreneur Challenge (1M-YEC) yang berlangsung di UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Pasukan 1M-YEC UKM itu telah mengalahkan pasukan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan membawa pulang trofi, medal dan wang tunai RM 7000.

Mereka telah menjalankan perusahaan itu sejak setahun lalu di Jalan Reko Kajang. Mereka terdiri dari 11 orang pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Fakulti Undang-undang (FUU) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Mereka juga adalah ahli kelab Student In Free Enterpise (SIFE UKM).

Seorang anggota 1M-YEC UKM, Azmeer bin Nasri yang juga Timbalan Presiden Kewangan dan Pentadbiran SIFE UKM, berkata program itu amat baik kerana telah mendedahkan mereka kepada pelbagai situasi yang memerlukan keputusan mendadak di sepanjang pertandingan.

Beliau berkata program itu antara lain telah memupuk kebolehan kepimpinan dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan melatih mereka berkomunikasi dengan lebih berkesan.

Azmeer berharap program demikian dapat diperbanyakkan lagi bagi melatih pelajar dalam bidang keusahawanan.

Pasukan 1M-YEC UKM itu telah membangunkan dan memajukan perusahaan MR Junior Enterprise dengan menggunakan dan mengaplikasi ilmu keusahawanan yang mereka pelajari dalam dewan kuliah ke dunia sebenar.

Mereka telah menumpukan perusahaan itu dalam lima aspek utama; pemasaran dan jualan, produk, perkhidmatan, pengurusan operasi dan pengurusan kewangan.

Usaha pemasaran yang mereka melaksanakan adalah dengan mempromosikan perniagaan melalui tiga kaedah; mengedarkan flyers ke kawasan sasaran utama melalui media cetak, menyediakan video promosi Mr Junior yang dimuatkan ke Youtube dan menyertai Karnival anjuran UKM.

Mereka telah memperbaiki waktu perniagaan dan sistem tempahan dan penghantaran produk kepada pelanggan selain mencipta kotak penghantaran dan penggunaan pelekat pada pembungkusan.

Pasukan ini kini sedang berusaha untuk membangunkan sistem perisian yang sesuai bagi merekod segala aktiviti perniagaan Mr. Junior.

Konvensyen itu yang berlangsung selama tiga hari berakhir pada 20 Julai lalu dengan menghimpunkan sebanyak 11 IPTA/S tempatan. Ia adalah suatu program perintis Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Yayasan SIFE Malaysia (YSM).

Program berkonsepkan keusahawanan sosial ini disasarkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan sekolah menengah (Pra-Universiti).

Program 1M-YEC menggunakan pendekatan program SIFE, dimana pelajar dengan bimbingan penasihat projek membantu memperkasakan program komuniti dan pembangunan perusahaan oleh pelajar dalam tempoh setahun.