MAMPU Puji UKM Sediakan Pelan Strategik ICT

AHAD, 13 MEI 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Mei – MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia) memuji Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah agensi yang memberi tumpuan kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam usahanya melakukan penyelidikan.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Mohamad Zabidi Zainal kagum dengan kerjasama antara UKM dan MAMPU dalam usaha meningkatkan penyelidikan di UKM dengan menggunakan ICT.

Beliau berbangga dengan sokongan dan penglibatan UKM sebagai pakar dan MAMPU sebagai perunding untuk menghasilkan pelan strategik ICT untuk institusi pengajian tinggi di negara ini.

Dato’ Mohamad Zabidi berkata proses demikian boleh meningkatkan pengetahuan dan kepakaran semua yang terlibat.

Beliau telah memberi pandangannya itu di majlis penyerahan dokumen Pelan Strategik Teknologi Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia 2011–2015 kepada Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hari ini. Satu naskah diserahkan kepada Dato’ Zabidi.

Skop projek itu mengambil kira keperluan perancangan, pembangunan dan pelaksanaan ICT di semua kampusnya di Bangi (kampus induk), Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan UKM, Cheras.

Projek Pembangunan Pelan Strategik ICT UKM (2011 – 2015 ) dimulakan secara rasmi pada 25 Ogos 2010. Pembangunan Pelan Strategik ICT itu dilakukan secara dalaman oleh Pasukan Kerja Pembangunan Pelan Strategik ICT UKM yang diketuai oleh Prof  Ir Dr Othman Abdul Karim selaku Pengarah Projek.

Prof Sharifah Hapsah ketika menerima pelan itu berkata bahawa ICT adalah teras kepada tugas UKM, iaitu mengajar, belajar dan menjalankan penyelidikan.

Beliau berkata selepas ICT diperkenalkan, UKM menjadi lebih cekap dan pantas, umpamanya di kalangan penuntut dan tenaga pengajar. Buktinya boleh dilihat di seluruh kampus di Bangi.

Projek ini mendapat kerjasama khidmat perundingan daripada Pasukan Perundingan Strategik ICT Sektor Awam, MAMPU yang diketuai oleh Dato’ Dr Zahari Othman.

Pelan Strategik ICT UKM adalah pelan jangka panjang yang menetapkan hala tuju perancangan, strategi pembangunan dan pelaksanaan projek ICT bagi menyokong pencapaian visi dan misi UKM.

Pelan Strategik ICT Sektor Awam menggariskan hala tuju pelaksanaan ICT di sektor itu dengan mengutarakan rangka kerja ICT, bidang teras yang perlu dipertingkatkan dan sasaran dasar ICT.

Tujuanya adalah bagi memastikan hal-hal pengurusan ICT di agensi perlu selari dengan apa yang dilakukan dalam Sektor Awam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali; Prof Ir Othman yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed.

Misi MAMPU ialah untuk memacu transformasi sektor awam untuk meningkatkan kesejahteraaan rakyat dan menyokong peningkatan daya saing negara melalui pemerkasaan pengurusan organisasi dan ICT secara inovatif dan strategik.