Pakar Geologi Bimbang Pemaju Perumahan Mendapat Khidmat Penasihat Tidak Berpengalaman

ISNIN, 22 OKTOBER 2012 17:47

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit UKM

BANGI, 21 Okt, 2012 – Pakar Geologi Kejuruteraan dan penasihat kerajaan mengenai pembangunan tanah tinggi bimbang sesetengah pemaju perumahan mendapatkan nasihat dari perunding tidak berpengalaman untuk memeriksa projek mereka.

Profesor Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata hal ini berlaku kerana wujudnya kekurangan ketara pakar geologi kejuruteraan.

Beliau bimbang dengan keadaan di mana sesetengah pemaju perumahan telah memotong cerun berdasarkan nasihat daripada perunding yang kurang berpengalaman demikian.

Prof Ibrahim memberitahu Portal Berita UKM bahawa graduan baru geologi tidak akan dapat membuat penilaian yang tepat, tetapi pemaju tidak mempunyai banyak pilihan kerana bilangan pakar demikian tidak memadai untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumah.

Beliau sebelum itu telah menerima penganugerahan gelaran Profesor Emiritus dari Pro-Canselor UKM, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarham Tuanku Ja’afar di sidang keempat konvokesyen ke-40 UKM hari ini.

Prof Ibrahim adalah bekas Profesor Geologi Kejuruteraan di UKM dan menghabiskan masanya selama 37 tahun dengan universiti itu sebagai mahasiswa dan pensyarah, 19 tahun daripadanya sebagai Profesor dan pernah menjadi Felo Utama di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI).

Beliau berkata keadaan kekurangan pakar itu menjadi kritikal kerana peningkatan bilangan rumah yang dibina di lereng bukit buatan manusia.

Prof Ibrahim berkata negara kini hanya mempunyai kira-kira 20  pakar Geologi Kejuruteraan walhal mengikut kadar pembinaan perumahan semasa beliau menganggarkan negara memerlukan sekurang-kurangnya 200 perunding berkelayakan demikian.

Beliau mengingatkan pemaju supaya berhati-hati apabila membina cerun yang curam kerana belum ada penyelidikan yang cukup yang dilakukan ke atas kawasan sedemikian di Malaysia.

Beliau mendapati jurutera Malaysia masih menggunakan data yang disusun oleh institut penyelidikan di negara-negara Barat di mana struktur iklim dan tanah berbeda dengan yang terdapat di negara.

Di tanya sama ada hujan lebat adalah punca utama kegagalan cerun bukit di negara ini, beliau berkata cuaca dan iklim tidak harus dipersalahkan kerana taburan hujan turut berlaku secara konsisten. Kesalahannya terletak kepada penyediaan pembinaan cerun dan lereng bukit yang biasanya dilakukan tanpa perundingan yang mencukupi.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa hujan kini lebih kerap disebabkan oleh perubahan iklim dan boleh memburukkan lagi kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.

Tetapi, tambahnya, kebanyakan tanah runtuh berlaku di mana cerun digunakan untuk projek. Ini mungkin menunjukkan beberapa amalan kurang beretika tetapi beliau tidak pasti sejauh manakah ia berlaku.

Beliau berkata Malaysia adalah masih sebuah negara membangun dan perlu membuat kajian lanjut mengenai Sains Tanah untuk negara-negara tropika dan mencadangkan sebuah Institut Penyelidikan Geologi ditubuhkan.

Prof Ibrahim memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Geologi di UKM dan memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Geologi di Univsersity Strathclyde, Glasgow.

Beliau adalah seorang ilmuan, penyelidik dan penggerak pembangunan lestari untuk memulihara sumber asli dan alam sekitar sebagai warisan bernilai untuk generasi masa depan.

Beliau kini adalah Naib-Canselor Universiti Malaysia Terengganu.