Kad Diskaun 1Malaysia Diagihkan Kepada Pelajar Baru UKM

SELASA, 11 SEPTEMBER 2012 12:08

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 7 Sep 2012 – Pelajar sepenuh masa di mana-mana universiti atau kolej awam atau swasta sedang diberikan kad diskaun yang membolehkan mereka mendapat membeli berbagai barangan pada harga istimewa.

Menteri Mentor kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Sri Liow Tiong Lai berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat, termasuk pelajar-pelajar yang baru masuk universiti bagi sesi 2012-2013 sekarang.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan dan seorang alumni UKM berkata beban kewangan pelajar baru akan dapat diringankan apabila mereka memiliki Kad Diskaun khas itu.

Dato’ Sri Liow berucap ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kad Diskaun kepada pelajar baru UKM hari ini. Kad-kad itu disampaikan kepada wakil siswa baru mengikut kolej kediaman mereka oleh Naib Canselor, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin selepas upacara ikrar pelajar hari ini.

Dato’ Sri Liow berkata kerajaan akan memastikan bahawa semua pelajar akan memperolehi manfaat daripada pengunaan kemudahan itu.

Bagaimana pun, beliau mengingatkan pelajar tidak membazirkan wang selepas mendapat kemudahan itu kerana tujuannya ialah untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan mereka ketika menuntut di universiti atau kolej.

KadDiskaun 1 Malaysia atau KADS1M diwujudkan oleh Kementrian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan matlamat membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

 

KADS1M diberi percuma kepada semua pelajar sepenuh masa warga Malaysia yang mengikuti pengajian sekurang-kurangnya satu tahun.

Dato’ Sri Liow berkata sehingga kini sejumlah 206 buah syarikat telah menyertai program KADS1M menawarkan diskaun dari dua hingga 60% terhadap berbagai barangan dan perkhidmatan terpilih tertakluk kepada kadar, syarat dan terma yang ditetapkan oleh syarikat peserta.

KADS1M adalah swipe card dan bukan kad yang menawarkan mata ganjaran. Pelajar hanya perlu menunjukkan KADS1M bersama kad pelajar atau MyKad untuk mendapatkan diskaun yang ditawarkan.