Mahasiswa Diingatkan Kejayaan Hanya Boleh Tercapai Dengan Usaha

SELASA, 11 SEPTEMBER 2012 16:36

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan

BANGI, 4 Sep 2012 – Pelajar-pelajar yang mula menjejak kaki ke institusi pengajian tinggi di ingatkan tidak mengambil jalan pintas untuk mencapai kejayaan kerana apa yang diperolehi dengan sekelip mata selalunya akan hilang begitu sahaja.

Jalan yang pasti untuk mencapai kejayaan adalah melalui usaha, demikian kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Hj Ibrahim dalam satu perjumpaan dengan lebih 2000 siswa baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Perjumpaan ‘bersama pemimpin negara’ itu adalah sebahagian daripada program minggu orientasi mereka.

Beliau juga menasihati mereka supaya tidak mudah diperkudakan berbagai golongan politik dengan mempercayai segala tohmahan yang dibuat sesetengah tokoh politik.

Pelajar itu dinasihati menggunakan akal fikiran dan membuat penilaian sendiri sebelum menerima segala janji yang ditaburkan pihak yang mementingkan perjuangan politik mereka.

Sebagai siswa mereka mempunyai kemampuan untuk membuat penilaian yang objektif dan dengan itu harus menyoal dan mencari jawapan sendiri dan tidak mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan tanpa usul periksa, kata Dato’ Razali.

Kiranya pelajar tidak berhati-hati dan mempercayai apa sahaja yang diperkatakan tanpa usul periksa, mereka akan dimanipulasikan .

Beliau berkata konflik selalunya wujud kerana perbedaan agama, etnik atau wilayah. Salah satu sebab ini akan wujud dalam negara yang terperangkap dalam kancah konflik.

Bagaimana pun di Malaysia ketiga-tiga faktor itu, perbedaan agama, etnik dan pertikaian wilayah antara negeri wujud serentak.

Beliau menasihati mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak membiarkan diri mereka diperalatkan oleh orang-orang yang tidak bertanggung-jawab.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, para Dekan dan pensyarah.