Nasib Baik Berperanan Untuk Memenangi Hadiah Nobel

SELASA, 29 APRIL 2014 15:03

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 April 2014 – Tiada siapa mengetahui penyelidikan bagaimana harus dilakukan untuk memenangi Hadiah Nobel tetapi nasib juga berperanan dalam pemilihan pemenangnya.

Tokoh Laureate Bermastautin (Laureate-in-Residence) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Sir Richard Roberts bagaimana pun berkata seseorang penyelidik harus meneruskan kerjayanya tanpa memikirkan soal mahu memenangi sesuatu hadiah.

Ahli kimia dan biologi molekul British itu memenangi Hadiah Nobel dalam Fisiologi dan Perubatan pada tahun 1993 atas penemuan introns dalam DNA eukariot dan mekanisme pemotongan atau pemecahan gen. Beliau memenangi hadiah itu bersama Phillip Allen Sharpe.

Sir Richard berkata demikian sebagai penceramah jemputan di program Bengkel Penyelidik Muda Nobel UKM di sini baru-baru ini. Beliau telah berkongsi pengalamannya menerima Hadiah Nobel 21 tahun lalu dengan peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pasca ijazah. Program itu dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan dan Instrumentasi UKM (CRIM).

Beliau membuat penemuannya itu ketika sedang melakukan kajian DNA untuk mengesan gen barah. Penemuan itu telah dikemukakan pada tahun 1973 tetapi menerima pengiktirafan hanya 20 tahun kemudian.

“Saya amat bersemangat untuk mengetahui bagaimana dunia berfungsi tanpa mempunyai niat untuk memenangi hadiah itu,” katanya.

Nasihatnya kepada penyelidik muda adalah tahu apa yang mereka benar-benar minati dan lakukan penyelidikan secara berterusan dan penuh kesungguhan.

Beliau menggalakkan ahli akademik berpendirian tegas terhadap sesuatu perkara tanpa mudah dipengaruhi orang lain kerana tindakan sedemikian boleh memberi manfaat terhadap penyelidikan yang mereka lakukan.

Bagi Sir Richard, motivasinya adalah kerana mahu terus melakukan penyelidikan terhadap apa yang diminatinya, iaitu biologi.

Beliau berada di Malaysia untuk menghadiri beberapa bengkel yang diadakan sebelum ini di Melaka, Mersing dan Tioman.

Beliau kini berkhidmat di New England Bio-labs, sebuah syarikat di utara Boston Amerika Syarikat.

Turut hadir dalam sesi ceramah itu Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed dari Fakulti Sains dan Teknologi.