Dua Pencapaian Utama UKM Bagi Penyelidikan Perubahan Iklim

RABU, 24 DISEMBER 2014 08:16

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 17 Disember 2014 – Institut Kajian Perubahan Iklim (IKLIM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini telah merasmikan dua kemudahan untuk mengkaji perubahan Iklim iaitu yang ulung kali diadakan dalam negara ini.

Stesen Pengayaan Karbon Dioksida Bebas (FACE) dan Rumah Kaca Karbon Dioksida Terbuka direka khas dengan kerjasama  Yayasan Sime Darby (YSD).

Pengarah IKLIM Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah berkata FACE adalah satu kaedah dan kemudahan untuk memperkayakan karbon dioksida atau gas lain pada jumlah yang dikawal tanpa menggunakan kandang atau dinding.

Beliau berkata projek itu adalah suatu program pemantauan jangka panjang dengan matlamat utama untuk menentukan kesan karbon dioksida (CO2) bebas dari udara terhadap habitat hutan.

Tanpa FACE, maklum balas tumbuhan dan ekosistem terhadap peningkatan kepekatan CO2 biasanya datang dari kajian di makmal di mana keadaan telah diubah suai kerana dilakukan dalam kawasan tertutup.

Kajian ini merangkumi perubahan dalam pengasidan tanah, kandungan tumbuhan, kuman dalam tanah dan fisiologi tumbuhan.

Kemudahan Rumah Kaca Karbon Dioksida Terbuka pula bertujuan menyediakan uji kaji ke atas tindak balas tumbuhan pada kepekatan tinggi CO2.

Beberapa kajian telah dijalankan ke atas pelbagai jenis tumbuhan termasuk bakau dan tumbuh-tumbuhan daratan, untuk menyelidik apa yang berlaku bila terdedah kepada kepekatan tinggi CO2.

Rumah kaca itu mempunyai ruang pertumbuhan tanaman dengan sistem suntikan CO2.

Beberapa ruang juga diadakan bagi mengawal keadaan persekitaran seperti suhu dan kelembapan. Ia didirikan di Fakulti Sains dan Teknologi.

Kedua-dua infrastruktur itu telah dirasmikan dalam satu upacara khas oleh Pengarah Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Sime Darby Berhad dan YSD Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid Wan Noordin,.

Tan Sri Wan Zahid memuji UKM kerana kedua-dua projek perintis itu. Beliau berkata program itu akan menjadi faktor utama untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu perubahan iklim di kalangan orang ramai dan membantunya dengan reka bentuk dan pelaksanaan dasar dan strategi lestari.

Beliau berkata IKLIM dan pengarahnya Prof Sharifah Mastura telah membantu mewujudkan pelbagai peluang untuk kerjasama penyelidikan yang menyokong pengumpulan maklumat bagi memenuhi keperluan pembuat keputusan dalam sektor industri yang peka kepada perubahan iklim.

Kursi UKM-YSD untuk Perubahan Iklim, yang dipegang oleh Prof Sharifah Mastura, ditubuhkan untuk menangani perubahan iklim, suatu masalah alam sekitar paling penting yang dihadapi dunia masa kini.

Program ini diuruskan oleh IKLIM bersama YSD. Kursi itu bertujuan menyediakan peluang dan kepimpinan untuk usaha dan sumber yang diselaraskan dalam penyelidikan IKLIM dan isu-isu berkaitan, khususnya bagi rantau Asia Tenggara. Ia membolehkan IKLIM menerajui penyelidikan bertujuan untuk menilai kesan perubahan iklim di Malaysia dan memperbaiki  pemahaman mengenai aspek saintifik perubahan Iklim bagi mengenal pasti langkah-langkah pengurangan dan strategi penyesuaian yang perlu dilakukan.

Tan Sri Wan Zahid berkata YSD dengan pembiayaan RM5 juta untuk aktiviti kursi akademik membolehkan UKM mengambil peranan utama dalam penyelidikan iklim dengan memberi tumpuan kepada kesan terhadap sumber air, ekosistem daratan dan kesihatan manusia, ekosistem laut dan sektor-sektor seperti perikanan, pertanian di Malaysia dan Asia Tenggara.

Beberapa kumpulan penyelidikan yang menggunakan FACE dan Rumah Hijau telah diberikan cek olok-olok daripada geran yang terima untuk menjalankan penyelidikan pada majlis itu.