Cadangan Golongan Kaya Dikenakan Lebihan Cukai Untuk Kurangkan Perbedaan Ketara Pendapatan

JUMAAT, 27 JUN 2014 16:06

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Jun 2014 – Keadaan jurang pendapatan yang amat ketara di kalangan orang berada dengan yang tidak perlu ditangani dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas golongan terkaya di negara ini.

Pakar ekonomi dari Universiti Kyoto di Jepun Dr Choy Yee Keong berkata, walaupun rekod pembangunan Malaysia amat mengagumkan, ia adalah yang paling tidak sama rata antara negara-negara ASEAN.

Beliau juga menyatakan bahawa walaupun Dasar Ekonomi Baharu (DEB) telah dilaksanakan sejak 1970 pendapatan bulanan kaum Bumiputera adalah yang paling rendah di antara tiga kumpulan etnik utama negara ini.

Dr Choy telah menyampaikan syarahan umum sempena Ulang Tahun ke-20 Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau berkata insentif cukai dan pengecualian lazimnya memberi manfaat kepada syarikat kaya multinasional atau monopoli dan tidak boleh menangani masalah jurang pendapatan yang ketara dan tidak saksama.

Perangkaan Bank Dunia menunjukkan Malaysia mempunyai KDNK per kapita tertinggi di kalangan lima negara utama ASEAN tidak termasuk Singapura tetapi ironinya ia juga mempunyai perbezaan yang paling besar dalam pendapatan antara yang berada dengan yang tidak berada kerana pengagihan kekayaan yang tidak sama rata.

Turut hadir pada syarahan itu Naib Canselor Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali, pengarah LESTARI Prof Dr Mohd Raihan Taha, Felo Kanan Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail dan pengerusi acara tersebut Prof Emeritus Chamhuri Siwar.

Dr Choy memberitahu bahawa 20% daripada mereka yang paling berada di negara ini memiliki lebih daripada 51% kekayaan negara, manakala 10% yang paling berada memiliki lebih daripada 35% kekayaan itu. Padahal 20% daripada yang terbawah hanya mempunyai kurang daripada 5% daripada kekayaan negara.

Dr Choy, yang melakukan kajiannya antara 2007 dan 2012, bagaimanapun menjelaskan bahawa tidak wujud hanya satu penyelesaian sahaja untuk semua masalah  jurang pendapatan yang tidak saksama itu.

Beliau mencadangkan Malaysia mencari kaedah yang mengambil kira dinamik pelbagai kaum dan jurang perbezaan pendapatan yang luas antara penduduk bandar dan luar bandar untuk menanganinya.

Malaysia dianggap sebagai sebuah negara berpendapatan pertengahan tinggi oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) kerana ia berjaya mengurangkan kedudukan kemiskinan yang melanda hampir 50% daripada penduduknya pada tahun 1970 kepada hanya 1.7% sahaja pada tahun 2012.

Dr Choy berkata kemiskinan di bandar menjadi isu yang semakin kritikal kerana kadarnya telah meningkat daripada 1.7% pada tahun 2009 kepada 3.4% pada 2012.

Beliau menggesa agar usaha ditumpukan terhadap mengurangkan jurang yang kaya dan miskin di bandar. Salah satu kaedah adalah menyediakan dasar dan program pemindahan dan pengagihan semula kekayaan dari yang kaya terutama dari 10% terkaya kepada 40% penduduk termiskin.

Golongan 20% terkaya juga perlu membayar cukai yang lebih tinggi manakala kerajaan pula perlu menyediakan lebih banyak projek untuk membantu golongan miskin.

Orang Asli dan kumpulan etnik bumiputera adalah yang paling terdedah kepada kemiskinan, terutama mereka yang masih tinggal di kawasan luar bandar dan tanah adat seperti hutan rimba.

Ditanya apakah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan tahun depan dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan yang luas sekarang ini, beliau khuatir ia mungkin memburukkan lagi keadaan.

“GST pada keseluruhannya adalah suatu cukai regresif yang boleh memberi impak kepada golongan miskin melainkan adanya pengecualian terhadap barang-barang keperluan tertentu. Golongan ini membelanja sebahagian besar dari pendapatan mereka untuk membeli barangan keperluan dan ia tidak akan meringankan beban mereka,” katanya.

Prof Chamhuri, yang memperkenalkan Dr Choy,  menerangkan bahawa GST masih menjadi isu perbalahan dan kerajaan perlu menyediakan satu jadual barangan keperluan yang terkecuali dari cukai itu.

Dr Choy berkata walaupun peningkatan hasil kerajaan adalah penting untuk pembangunan dan usaha membasmi kemiskinan, GST mungkin tidak membawa kesan nyata yang diperlukan untuk semua sektor masyarakat.

Cara mengukur kadar kemiskinan perlu dikaji semula supaya dapat mencerminkan masalah sosio-ekonomi yang ditanggung oleh si miskin baik di bandar atau luar bandar dengan mengambil kira perbezaan dalam kos sara hidup di kawasan bandar dan luar bandar dan peningkatan kos hidup.

Dr Choy di lahir dan dibesarkan di Ipoh. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Chuo University, Tokyo dan PhD dalam bidang Ekonomi dari Universiti Keio di Tokyo, dengan pengkhususan dalam kelestarian pembangunan. Beliau kini mengajar ekonomi dan isu-isu etnik dalam pembangunan lestari di Pusat Siswazah Ekonomi, Universiti Kyoto, Jepun dengan tumpuan khas kepada isu-isu pembangunan di rantau ASEAN. Ini termasuk kemiskinan bandar dan luar bandar dan etika kelestarian.