Program Universiti Penyelidikan Jimatkan Perbelanjaan RM2 Billion

RABU, 07 MEI 2014 15:11

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

SERDANG, 6 Mei 2014 – Sejak program universiti penyelidikan dimulakan pada tahun 2007, negara telah dapat menjimatkan sehingga RM2 bilion perbelanjaan kerana pelajar pascasiswazah telah melakukan pengajian doktor falsafah atau PhD di dalam negara.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata lima universiti penyelidikan tempatan (RU) telah melaksanakan program PhD dengan kos RM500,000 bagi setiap calon, berbanding dengan belanja RM1 juta seorang untuk menghantar mereka ke luar negara.

Idris berkata seramai 4,000 pelajar siswazah berjaya memperolehi PhD mereka pada jumlah kos sebanyak RM2 bilion – separuh daripada jumlah untuk melakukannya di universiti luar negara.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan pameran pengurusan bakat Universiti Penyelidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini. Ia memaparkan lima aspek Pengurusan Bakat; iaitu Kelestarian, Keusahawanan, Alam Sekitar, Keselamatan Makanan dan Kesihatan.

Idris berkata universiti-universiti awam lain yang belum menerima geran untuk sesetengah jenis penyelidikan telah bekerjasama dengan universiti penyelidikan untuk pelajar-pelajar pascasiswazah mereka.

Pada keseluruhannya kerja akademik dan penyelidikan telah melonjak dengan seramai 2,200 profesor baru dihasilkan.

Dari segi ekonomi, universiti penyelidikan menjana pendapatan sebanyak RM10.8 bilion dengan menghasilkan sebanyak 108,000 peluang pekerjaan.

Pameran dua hari itu memaparkan kejayaan universiti penyelidikan dan adalah yang kedua dalam siri lima acara. Pameran ini memberi tumpuan kepada tugas Pengurusan Bakat yang telah diamanahkan kepada UPM.

Bagi acara Kejayaan Media RU setiap universiti penyelidikan diberi tanggungjawab untuk mempromosikan sains dan inovasi supaya dapat membantu negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diberi tanggungjawab untuk mempamerkan kesan ekonomi dan sosial.

Empat universiti termasuk UKM telah dianugerahkan status Universiti Penyelidikan pada tahun 2007 di bawah Rancangan Malaysia ke-9 manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapat status itu pada tahun 2010 di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Kelima lima institusi itu sedang meningkatkan tumpuan kepada pengajian siswazah, terutamanya di peringkat PhD sebagai pemangkin kepada penyelidikan dan pembangunan.