Terus Perjuangkan Harapan Rakyat, Titah Canselor UKM

SABTU, 01 NOVEMBER 2014 19:35

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 November 2014 – Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir bertitah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harus terus memberi tumpuan kepada matlamat asalnya walaupun telah menunjukkan kejayaan pada penarafan antarabangsa.

Canselor UKM itu menganggap UKM telah berjaya apabila dapat terus memperjuang dan menterjemahkan harapan rakyat untuk memperolehi pendidikan tinggi berkualiti.

Bertitah di Majlis Konvokesyen ke-42 UKM di sini hari ini, baginda mahukannya terus menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan dan pembinaan tamadun negara.

Titah baginda matlamat penubuhan UKM adalah untuk mendaulatkan semangat kebangsaan termasuk menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi yang tidak akan pudar malah terus bersemarak dan mekar.

Tuanku Muhriz melahirkan rasa bangga dengan kejayaan UKM meningkatkan kedudukannya menjadi universiti ke-259 terbaik dunia.

Ini merupakan 1% teratas dalam senarai universiti-universiti dunia. Tuanku Muhriz bertitah nama baik UKM tidak mungkin dikecapi tanpa kesungguhan setiap warganya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Baginda juga gembira bahawa buat kali pertama sekumpulan alumninya turut diundang khas menghadiri majlis konvokesyen tahun ini. Tuanku Muhriz yakin mereka boleh menjadi contoh yang melaksanakan tanggungjawab besar untuk masyarakat dan negara.

Tuanku Muhriz turut menasihatkan graduan yang akan membawa identiti UKM supaya menyerlah dalam apa jua bidang yang mereka ceburi demi kebaikan rakyat dan negara.

Seramai 6,266 orang menerima ijazah mereka pada konvokesyen tahun ini yang berlangsung hingga Selasa ini.