Kedutaan Colombia di Malaysia yang diketuai oleh Encik Juan Carlos Moreno, Kuasa Usaha Sementara Colombia telah menganjurkan satu sesi dialog strategik melibatkan delegasi 22 orang Datuk Bandar dari pelbagai perbandaran di Colombia bersama Universiti Kebangsaan Malaysia serta Urbanice Malaysia. Program ini merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi delegasi tersebut ke Malaysia bagi penganjuran Southeast Asia Technical-Academic Mission 2026 dengan objektif utama memperkukuh pertukaran ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pembangunan bandar lestari, biodiversiti serta pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Â
Sesi perkongsian ini membuka ruang interaksi langsung antara pihak berkuasa tempatan Colombia bersama pihak UKM dan Urbanice Malaysia dengan mengetengahkan pendekatan Malaysia dalam mengintegrasikan penyelidikan saintifik, pendidikan dan pelaksanaan dasar awam melalui model kerjasama antara universiti, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan. Hadir dalam perkongsian ini adalah Prof. Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, Pengarah ALAF-UKM, Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya, Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara UKM, Dr. Juliana Senawi, Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Langkawi, ALAF-UKM, Encik Harfiz Rasul Mohamad, Pegawai Antarabangsa, Singapore University of Social Sciences serta Puan Noreen Nattassa Ahmad Jaafar, wakil Urbanice Malaysia.
Â
Dalam sesi ini, ALAF-UKM turut mengetengahkan peranan Makmal Alami UKM sebagai platform lapangan bersepadu yang menyokong penyelidikan, pendidikan dan pemindahan ilmu secara langsung dalam ekosistem sebenar. Pendekatan ini membolehkan data saintifik diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang menyokong pembangunan lestari, pemuliharaan biodiversiti serta penglibatan komuniti setempat.
Â
Perbincangan yang berlangsung secara dua hala dan interaktif ini memfokuskan kepada beberapa tema utama yang kritikal dalam landskap pembangunan masa kini, antaranya aplikasi SDG dalam perancangan dan pengurusan bandar, kepentingan pemeliharaan biodiversiti khususnya di kawasan tropika serta hubungannya dengan pembangunan pelancongan lestari, dan pembangunan modal insan sebagai pemangkin keterangkuman sosial serta kesejahteraan komuniti.
May 1, 2026

























