Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF), ALAF-UKM telah menjadi lokasi pelaksanaan program Kajai Youth Leadership: The Next Generation of Leader yang telah berlangsung pada 1 hingga 3 Mei 2026, melibatkan pelajar -pelajar terpilih dari Kolej Rahim Kajai, UKM. Program ini menghimpunkan seramai 40 orang pelajar terpilih, 20 orang fasilitator serta 2 orang Felo Kolej Rahim Kajai bagi mengikuti sesi pemilihan dan latihan kepimpinan yang berfokuskan pembangunan potensi diri serta pembentukan jati diri sebagai pemimpin masa hadapan.
Â
Pelaksanaan program ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada peserta dalam aspek kepimpinan, pengurusan diri, komunikasi berkesan serta pembinaan semangat kerja berpasukan. Pendekatan experiential learning yang berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman serta interaksi dengan alam sekitar turut diterapkan bagi memperkukuh nilai ketahanan mental, emosi dan fizikal para peserta. Selain itu, program ini turut menekankan elemen motivasi diri dan kepimpinan berintegriti melalui aktiviti berstruktur yang dirangka khusus bagi membina keyakinan serta meningkatkan kebolehan membuat keputusan dalam situasi mencabar.
Â
PPBF sentiasa menyokong sebarang inisiatif program berbentuk pembangunan kepimpinan dan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti ini, khususnya yang mengintegrasikan elemen alam semula jadi. Integrasi elemen alam di PPBF turut memberikan dimensi pembelajaran yang lebih holistik, mendalam dan bermakna kepada para peserta. program ini menjadi platform strategik dalam melahirkan barisan pemimpin muda yang berwibawa, berdaya tahan dan progresif, selaras dengan aspirasi UKM dalam melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada kolej, universiti dan negara.
May 5, 2026


















