ALAF-UKM melalui Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) turut terlibat dalam lawatan dan kunjungan YB Puan Leong Yu Man, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Daerah Pekan (DUN Chini) pada Selasa 6 November 2026. Antara pengisian utama lawatan termasuklah kunjungan ke Jeti Kampung Orang Asli Gumum, Kampung Orang Asli Tanjung Puput, Bengkel Projek Eco Printing & Eco Dyes Komuniti Wanita Orang Asli Tasik Chini (Projek Sejati MADANI), Kompleks Pelancongan Kuala Chini dan Jeti Kuala Chini.
Rangkaian kunjungan ini memberi ruang untuk mendekati kehidupan komuniti Orang Asli serta melihat potensi kegiatan ekonomi setempat dan kemudahan pelancongan di sekitar Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB). Inisiatif seperti projek eco printing dan eco dyes turut mengetengahkan kreativiti wanita Orang Asli dalam menghasilkan produk berasaskan alam yang membawa identiti komuniti mereka.
Sebagai rakan strategik TCRB, ALAF-UKM melalui PPTC terus menyokong usaha menghubungkan penyelidikan dan pendidikan dengan pemuliharaan alam serta pemerkasaan komuniti. Penglibatan universiti bersama agensi dan penduduk setempat menjadi asas penting agar pembangunan pelancongan turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian Tasik Chini.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Puan Nor Zahira binti Muhammad Azmi, Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Zainal Abidin bin Othman, Ketua Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), Encik Mohd Ghazali bin Sulaiman, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) Pekan, Pahang serta Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA Kampung Gumum. Hadir sama mewakili ALAF-UKM ialah Puan Nur Amelia Abas, Penyelaras Makmal Alami dan Penyelidikan ALAF-UKM.
November 5, 2026


















