Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), ALAF-UKM dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) telah menganjurkan Bengkel Jurupandu Tasik Chini Rizab Biosfera 2026 pada 13–15 Oktober 2026 di PPTC, UKM. Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Pembangunan Modul Latihan Jurulatih Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) untuk Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB), bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran jurupandu serta penglibatan komuniti dalam pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan Tasik Chini.
Melibatkan komuniti Orang Asli Tasik Chini, penduduk kampung tradisi dan peneroka FELDA Chini, bengkel tiga hari ini memberi pendedahan kepada teknik komunikasi, interpretasi alam dan pengendalian pelawat. Pembelajaran turut disokong melalui penerokaan denai alam, aktiviti menyusuri tasik dengan bot serta lawatan ke Kampung Orang Asli Tanjung Puput.
Bengkel ini turut menjadi platform uji lari Modul Latihan CEPA yang pembangunannya diterajui oleh Puan Nur Amelia binti Abas, Penyelaras Makmal Alami dan Penyelidikan, ALAF-UKM merangkap Ketua Projek, bersama pakar bidang, wakil komuniti dan warga PPTC serta ALAF-UKM. Maklum balas peserta digunakan untuk memurnikan modul bagi pendidikan alam sekitar murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.
ALAF-UKM merakamkan penghargaan kepada PTNP, penceramah, fasilitator, urus setia dan semua peserta atas kerjasama menjayakan bengkel ini. Semoga pengalaman yang diperoleh membantu peserta memperkenalkan alam, budaya dan warisan Tasik Chini kepada pelawat dengan lebih yakin dan berkesan.
October 22, 2026


















