Makmal Bioserasi, ALAF-UKM sekali lagi membuktikan keunggulan perkhidmatan apabila berjaya menamatkan dengan cemerlang proses Reassessment Audit oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM). Pengauditan yang dijalankan selama dua hari ini telah diketuai oleh Dr. Mazlan Isa (Ketua Penilai) dan Prof. Madya Dr. Mas Jaffri Masarudin (Penilai).
Objektif utama penilaian ini adalah untuk memastikan bahawa Makmal Bioserasi mengekalkan prestasi yang konsisten dan mampan dalam aspek pengurusan makmal, pelaksanaan ujian, pengendalian instrumen, serta kebolehpercayaan keputusan analisis. Penilaian ini juga berperanan sebagai pengesahan terhadap usaha makmal dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan dan penyampaian perkhidmatan yang menepati piawaian industri serta keperluan pelanggan.
Keputusan positif daripada audit ini sekali lagi membuktikan bahawa Makmal Bioserasi bukan sahaja komited kepada sistem pengurusan yang berkesan, tetapi turut mempamerkan tahap kecemerlangan dalam aspek teknikal dan saintifik, sejajar dengan matlamat universiti untuk menjadi pusat rujukan dalam penyelidikan berkualiti tinggi serta berimpak global.
ALAF-UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Makmal Bioserasi atas usaha gigih, disiplin dan profesionalisme tinggi dalam memastikan sistem makmal kekal relevan, efisien serta mematuhi piawaian tertinggi.














