ALAF-UKM telah menyertai Sambutan Hari Biodiversiti Negeri Pahang 2026 yang dianjurkan oleh Majlis Biodiversiti Pahang (MBP), bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). Bersempena sambutan ini, ALAF-UKM turut diberi peluang membuka reruai pameran bagi mengetengahkan peranan serta sumbangan penyelidikan universiti dalam pemeliharaan biodiversiti negeri.
Penyertaan kali ini memberikan tumpuan kepada dua pusat penyelidikan atau Makmal Alami ALAF-UKM yang beroperasi di Negeri Pahang, iaitu Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dan Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF). Kedua-dua pusat ini memainkan peranan penting dalam penyelidikan, pemantauan ekosistem, pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan ilmu berkaitan khazanah alam semula jadi Pahang.
Melalui pameran ini, pengunjung berpeluang mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian penyelidikan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PPTC dan PPBF, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan UKM dalam menyumbang kepakaran saintifik kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti.
Daripada Tasik Chini ke Bukit Fraser, penyelidikan terus menjadi pemangkin kepada pemeliharaan khazanah biodiversiti Pahang untuk generasi akan datang.
November 11, 2026


















