Pelan Transformasi AL-FALAH Jayakan Gagasan Malaysia Madani

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Ogos 2023 – Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (AL-FALAH) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) menjadi inisiatif utama dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata objektif Pelan Transformasi AL-FALAH adalah bagi menggariskan teras-teras strategik untuk dicapai oleh 14 buah agensi hal ehwal Islam bagi menjayakan gagasan Malaysia Madani.

“Tentunya Pelan Transformasi Al-Falah ini digerakkan antara lain adalah untuk melihat penambahbaikan kepada sistem pentadbiran Islam yang benar-benar efektif serta memenuhi keperluan masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Majlis Dekan Pengajian Islam kali  ke-5, yang diadakan di Fakulti Pengajian Islam UKM, di sini.

Katanya, beliau berbesar hati untuk mengajak rakan-rakan Majlis Dekan Pengajian Islam bagi meniayakan Pelan Al-Falah tersebut.

“Saya dapati, banyak ruang kebersamaan yang boleh kita laksanakan bersama terutama dari aspek pemerkasaan bidang pembinaan fikrah dan pembangunan latihan kepada graduan Pengajian Islam.

“Keriasama tersebut boleh dilaksanakan menerusi mekanisme latihan, penyelidikan, penerbitan dan khidmat komuniti bersama agensi hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan agar Majlis Dekan Pengajian Islam dapat mewujudkan satu jawatankuas khas yang boleh berhubung dan berbincang dengan para pegawai di pejabat JPM (Hal Ehwal Agama) secara berterusan bagi menyelaraskan sebarang bentuk kerjasama yang sesuai dan praktikal demi memenuhi kepentingan bersama.

“Kita mahu graduan Pengailan Islam benar-benar menguasai ilmu pengajian mereka sama ada dalam bidang Syariah, Usuluddin, Dakwah, Quran Sunnah dan sebagainya. Pada masa sama, saya mahu pihak universiti berusaha memastikan para graduan Pengajian Islam berkebolehan dalam penguasaan bahasa khususnya Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris,” jelas beliau.

Beliau juga turut mencadangkan supaya Majlis Dekan Pengajian Islam dapat melaksanakan satu Kongres Pengajian Islam Peringkat Kebangsaan yang menjadi platform kepada pertemuan para ilmuwan pengajian di peringkat nasional.

“Kongres ini amat penting kerana kita dapat menjana idea-idea terbaru serta syor-syor sesuai bagi pemerkasaan dan pembangunan bidang pengajian Islam untuk tempoh 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya. Beliau berharap kongres itu akan dapat memberi satu hala tuju yang jelas berkaitan bidang pengajian Islam di Malaysia dalam memenuhi keperluan akademik, kehendak masyarakat serta cabaran di pentas global pada masa kini.

Leave a Reply