Struktur penyelidikan di Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia terdiri daripada tiga pusat kajian yang mewakili bidang teras penyelidikan farmasi. Aktiviti penyelidikan di Fakulti Farmasi meliputi perbagai bidang iaitu kimia farmaseutikal asas, biofarmasi, pembangunan herba, farmakologi, sains formulasi, teknologi farmaseutikal, farmasi klinikal dan amalan farmasi profesional. Kami mempunyai pelbagai kemudahan penyelidikan yang terdiri daripada peralatan analisis terkini serta hospital pengajaran berasaskan penyelidikan. Kami juga telah berjaya menarik pelbagai geran penyelidikan bernilai lebih daripada RM2 juta pada 2019. Sertai pasukan penyelidikan kami untuk menerokai potensi penuh anda.
Setelah lebih 20 tahun semenjak program farmasi ditubuhkan, pelbagai kemajuan ketara telah dicapai terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan (R & D). Salah satu bidang penyelidikan yang berkembang pesat ialah penyelidikan dadah dan herba. Pusat Pembangunan Dadah dan Herba (CDHD), Fakulti Farmasi telah ditubuhkan pada tahun 2010. Pusat ini telah diiktiraf sebagai salah satu pusat rujukan untuk penyelidikan dadah dan herba di rantau ini.
Pusat Kajian Pengurusan Kualiti Ubat-ubatan merupakan salah satu pusat penyelidikan di Fakulti Farmasi UKM. Tidak seperti pusat penyelidikan yang lain, pusat ini berorientasikan amalan dan tertumpu kepada kajian yang melibatkan penggunaan ubat-ubatan, dasar-dasar berkaitan ubat-ubatan dan penggunaannya serta penyelidikan yang menyumbang kepada hasil yang lebih baik untuk pesakit. Pusat penyelidikan ini masih dikira sebagai muda, baik dari segi penubuhan dan ahlinya. Dengan yang demikian, kerjasama dengan penyelidik lain, doktor dan ahli farmasi di Kementerian Kesihatan, industri farmaseutikal, akademik dan sektor swasta adalah sangat dialu-alukan.
Sebelum ini, Pusat Kajian Teknologi Penyampaian Dadah (CENTRIC) telah dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Penyampaian Dadah. Pada tahun 2018, pusat ini telah dijenamakan semula kepada CENTRIC selepas penstrukturan semula di UKM. Penyelidikan utama tertumpu kepada penggunaan strategi novel dalam mereka-bentuk ubat-ubatan generasi yang akan datang. Teknologi utama yang digunakan dalam penyelidikan termasuk sains dan kejuruteraan bahan-bio, kimia polimer, nanoteknologi, teknologi farmaseutikal dan sains formulasi. CDDT menggalakkan inovasi penyelidikan, perkongsian pengetahuan dan kerjasama pelbagai disiplin yang seterusnya dapat meningkatkan pemahaman berkaitan teknologi penyampaian ubat-ubatan terkini dan untuk masa depan. Dengan itu juga, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan dapat dipertingkatkan.