Majlis Kecemerlangan UKM-GSB dalam Penarafan QS Global MBA Rankings 2026

UKM-GSB Cipta Sejarah

Majlis Kecemerlangan UKM-GSB dalam Penarafan QS Global MBA Rankings 2026 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Bangi Resort Hotel bagi meraikan pencapaian bersejarah UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB) yang buat pertama kalinya tersenarai dalam QS Global MBA Rankings 2026, apabila berada pada kedudukan 151–200 terbaik dunia, ke-23 terbaik di Asia dan kedua terbaik di Malaysia.

Pencapaian ini memperkukuh kedudukan UKM-GSB sebagai antara sekolah perniagaan paling berprestij di rantau ini, berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan tadbir urus bertaraf antarabangsa. UKM-GSB turut meraih akreditasi penuh AACSB (2025–2031) serta pengiktirafan dua sarjananya dalam senarai 2% saintis terbaik dunia (Elsevier 2025) iaitu Prof. Ts. Dr. Mohd Helmi Ali dan Prof. Madya Dr. Abdullah Al Mamun.

Dalam majlis tersebut, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh, menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan ini yang mencerminkan keunggulan UKM-GSB di pentas global, manakala Dekan UKM-GSB, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, menegaskan bahawa UKM kekal satu-satunya universiti di Malaysia yang menggunakan kurikulum rasmi Harvard Business School.

Majlis turut dihadiri oleh Tunku Kecil Muda Negeri Sembilan, Yang Mulia Tunku Dato’ Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, Pengarah Yayasan Canselor yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed dan Pendaftar, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud.

Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh warga UKM-GSB atas pencapaian gemilang ini yang terus mengangkat jenama UKM di persada antarabangsa.

Video liputan penuh oleh Astro Awani

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ukmgsb-cipta-sejarah-raih-tempat-kedua-terbaik-di-malaysia-dalam-qs-global-mba-rankings-546051

Baca lanjut di sini: http://astroawani.com/berita-malaysia/ukmgsb-cipta-sejarah-raih-tempat-kedua-terbaik-di-malaysia-dalam-qs-global-mba-rankings-546051