KEM SERONOKNYA MATEMATIK @ PROJEK KOMUNITI SEKOLAH ANGKAT HEP-UKM
Seramai 35 orang murid Tingkatan 2 dari SMK Dato’ Abu Bakar Baginda telah menyertai Kem Seronoknya Matematik di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menerusi inisiatif Projek Komuniti Sekolah Angkat @ HEP-UKM.
Program ini bertujuan menyemai minat terhadap bidang Matematik melalui aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif, di samping merangsang kreativiti serta pemikiran kritis murid. Inisiatif ini turut memberi peluang kepada murid mengenali persekitaran universiti dan meneroka pengalaman pembelajaran di peringkat pengajian tinggi. Selain itu, delegasi juga telah dibawa melawat ke Galeri Explorasi Matematik (GEM).
