Abdul Razak, Ilmuwan Bahasa, Nombor

Jangan lupa bahasa ibunda

TERKEDIP-KEDIP mata lelaki itu meneliti sambil membaca setiap patah perkataan yang dinukil dalam salah satu karya agung peradaban Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah.

Pembacaannya itu bukan untuk mengisi masa lapang, sebaliknya bagi merungkai fakta-fakta sejarah dan cara kehidupan masyarakat sebelum datangnya peradaban Barat ke Tanah Melayu.

Ramai sarjana dan pakar tempatan mahupun luar negara lebih-lebih lagi yang mengkhusus dalam bidang bahasa, budaya dan peradaban sesuatu bangsa berminat untuk membuat kajian mengenai manuskrip lama dunia Melayu serta Nusantara.

Bagaimanapun, agak janggal jika seorang ilmuwan yang mengkhusus dalam kerja kira-kira dan nombor mengkaji kisah-kisah sejarah serta mendalami bahasa Melayu dalam dunia akademiknya.

“Matematik mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan dunia Melayu kerana ia telah wujud sebelum zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini dapat dibuktikan dalam manuskrip-manuskrip dan batu bersurat seperti Hikayat Hang Tuah dan Batu Bersurat Terengganu yang banyak menunjukkan perihal masa, sukatan, jarak, usia, kedudukan dan sebagainya.

“Nombor yang kita gunakan sekarang merupakan nombor Melayu, bukan Cina mahupun India. Jika kita lihat pada perkataan sembilan yang merujuk kepada angka 9, ia adalah gabungan daripada perkataan se (satu), ambil dan an (sepuluh). Ia bermaksud hasil setelah satu diambil daripada sepuluh.

“Nombor lapan pula berasal daripada delapan, dulapan dan dualapan yang merupakan gabungan perkataan dua, alap dan an (sepuluh). Ia membawa maksud hasil dua diambil daripada sepuluh. Alap dalam bahasa Jawa dan Kedah bermaksud ambil,” terang Pensyarah Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Abdul Razak Salleh.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#.VT3H_DhbT2Q.facebook#ixzz3vgrerFQ0
Hakcipta terpelihara