Nasihat Supaya Wanita Periksa Awal Barah Payudara

001
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Wiki Commons

 BANGI, 28 Dis 2015 – Cara yang paling baik berkesan untuk menangani penyakit Barah Payudara ialah diagnosis dan rawatan awal oleh pakar-pakar yang bertauliah walaupun banyak kemajuan dicapai untuk mengesan kanser.

Banyak faktor mengakibatkan risiko berlakunya barah payudara dan ini menyebabkan  kesukaran untuk mencegah penyakit tersebut, kata Prof Dr  Zulfiqar Muhamed Annuar, pakar dan Pensyarah Jabatan Radiologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut beliau, kaedah pengimejan utama untuk mengesan barah payudara ialah mamografi dengan ultrasound sebagai pengimejan tambahan yang paling berkesan.

Prof Dr Zulfiqar memberitahu demikian pada Syarahan Perdana Profesor beliau bertajuk  ‘Kanser Payudara Pengesanan dan Diagnosis Awal Melalui Pengimejan,’ di Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar,  Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Dalam bidang Mamografi, kemajuan telah tercapai dengan peningkatan daripada mamografi Analog kepada skrin-filem, kepada mamografi digital yang menggunakan komputer untuk mengesan sesuatu kelainan pada gambar.

“Dalam bidang Ultrasound, kemajuan telah tercapai dengan peningkatan daripada pengimejan analog dua-dimensi yang menghasilkan gambar resolusi tinggi, kepada penghasilan imej padu tiga-dimensi secara automatik,” kata beliau.

Bagi biopsi payudara, iaitu penyingkiran tisu payudara untuk  memeriksanya tanda-tanda kanser payudara atau gejala lain, kemajuan telah dicapai dengan kenaikan  daripada biopsi eksisi melalui pembedahan, kepada biopsi perkutaneus, iaitu biopsi jarum dengan cara mengambil sebahagian kecil tisu, dengan hanya menggunakan insisi kecil, supaya ia boleh diperiksa di bawah mikroskop.

“Pada mulanya, jarum besar yang digunakan adalah jarum separ/*uh  automatik. Kemudian kita guna jarum lebih besar yang menggunakan kaedah sedutan hampa gas,” beliau menerangkan.

Katanya,  kemajuan dan  perkembangan dalam bidang-bidang mamografi, ultrasound payudara dan biopsi payudara dengan panduan pengimejan telah menyumbang kepada pengesanan dan penentuan diagnosis barah payudara pada peringkat awal.

“Gabungan mamografi dan ultrasound menghasilkan kadar kepekaan dan kekhususan yang tinggi dalam pengesanan kanser  payudara pada peringkat awal,” beliau menjelaskan lagi.

Beliau juga memberi jaminan kepada wanita-wanita yang takut untuk menjalankan prosedur biopsi supaya tindakan tersebut semata-mata untuk menyelamatkan mereka daripada penyakit barah.

Sebaliknya, jika terlalu banyak mencari maklumat juga boleh mengakibatkan perasaan tertekan, tambah beliau.ukmnewsportal-bm