Mahasiswa MBA Sumbang Peralatan Pembelajaran Kepada SJK (T) Ladang Sungai Muar


Oleh Muhamad Farid Mohd Fathil
Foto oleh Nur’in Balqis Johar

MUAR, 28 Januari 2019 – Sekumpulan mahasiswa Pengurusan Perniagaan (MBA), Pusat Siswazah Perniagaan (MBA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyumbangkan peralatan pembelajaran kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Sungai Muar, Segamat, Johor melalui program khidmat masyarakat, baru-baru ini.

Peralatan pembelajaran itu adalah peralatan sains dan komputer serta peralatan sekolah seperti beg dan alat tulis.

Program khidmat masyarakat tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang mata pelajaran Sains, yang merupakan antara mata pelajaran penting dalam sistem pendidikan.

A.P Vijeh, mewakili ahli Parlimen Segamat berkata, beliau sangat menyokong program tersebut kerana ia dapat memupuk semangat belajar murid-murid sekolah itu dalam meminati bidang sains.

“SJK(T) Ladang Sungai Muar adalah sekolah pedalaman di kawasan ladang. Saya sangat terharu apabila ada wakil mahasiswa yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membantu sekolah ini mendapatkan peralatan sains untuk murid-murid gunakan.

Mereka juga turut mengajar bagaimana untuk menggunakan peralatan tersebut. Bagi saya ini adalah projek yang bagus dan memberi impak yang besar kepada sekolah dan murid-murid,” katanya.

Beliau berkata, program seperti itu sangat menepati harapan kerajaan untuk membantu sekolah pedalaman dalam mendapatkan pendidikan yang secukupnya, tidak kira bangsa, agama dan masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik UKM-GSB, Prof Madya Dr Fazli Idris berkata, projek itu sebahagian daripada Program MBA yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah para pelajar, menambahkan keyakinan serta mewujudkan perasaan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat sekeliling.

Program tersebut telah mendapat kerjasama daripada Parlimen Segamat dan Pejabat Pendidikan Daerah Segamat.