UKM dan UDE Perintas Ijazah Pertama Dual Degree Program Kejuruteraan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Ogos 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Univerity of Duisburg-Essen (UDE), Jerman adalah perintis program berkembar (dual-degree) bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan sejak tahun 2004.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, sejak tahun 2004, seramai 182 alumni telah lulus program tersebut dan program itu boleh dianggap sebagai program kejuruteraan dual-degree yang paling lama di Malaysia.

“Untuk tahun ini (2019), kami menjangkakan untuk menghantar seramai 23 pelajar ke UDE bagi menamatkan pengajian tahun akhir mereka di sana (Jerman). Perkongsian jangka panjang antara UKM dengan UDE telah menjadi model kerjasama akademik yang komprehensif dan berjaya dari pengajian peringkat Sarjana Muda hinggalah ke peringkat Doktor Faksafah (PhD),” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan 20 Tahun Kerjasama UKM dengan UDE di Persada Canselori, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak tahun 2004, UKM telah menerima seramai 256 pelajar peringkat Sarjana Muda dan Sarjana daripada UDE melalui program pertukaran pelajar dan pada September ini, seramai 33 pelajar UDE akan menghabiskan satu semester pengajian mereka di UKM.

“Untuk program dual-degree PhD/Dr.-Ing., iaitu PromISE, seramai empat graduan telah berjaya menerima sijil dual doctoral daripada UKM dan UDE, dan tiga lagi calon masih dalam program tersbeut,” ujarnya.

Prof. Dato’ Dr. Imran turut memberitahu bahawa Pejabat Perhubungan UDE iaitu UKM-Mercator Office di UKM yang diwujudkan pada tahun 2002 dan Pejabat Antarabangsa UKM di UDE yang ditubuhkan pada tahun 2010 telah menjadi langkah yang sangat penting dalam mengukuhkan perkongsian itu.

“Kerjasama UKM dan UDE bukan sahaja terhad kepada akademik semata-mata, sebaliknya aktiviti penyelidikan dan pembangunan staf juga turut dilaksanakan.

“Terbaru pada bulan Februari yang lepas, seminar antarabangsa mengenai Future Automotive Technology (Teknologi Automotif Masa Depan) telah diadakan bagi membawa bersama pakar-pakar dari UKM dan UDE dalam bidang ini untuk berkongsi kepakaran,” jelasnya.

Beliau berharap kerjasama UKM dan UDE itu akan diperkukuhkan lagi dengan lebih banyak aktiviti akan dijalankan pada masa akan datang.

“Lebih banyak lagi aktiviti yang akan UKM dan UDE lakukan pada masa akan datang seperti permohonan dan penerbitan geran bersama, penyelidikan makmal bersama rakan penyelidik dan sangkutan pelajar”, katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa, TNC (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Prof Ir Dr Shahrir Abdullah, dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UDE, Prof Dr-Ing Dieter Schramm.