UKM Berkolaborasi Dengan BookDoc Sempena Sambutan UKM ke-50 Tahun


Oleh Mas Aliza Abu
Foto Ikhwan Hasim

BANGI, 11 Mac 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani perjanjian kolaborasi dengan Health4U Solutions Sdn. Bhd. atau lebih dikenali dengan nama BookDoc dalam merancang beberapa program bersama sempena sambutan UKM ke-50 tahun.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dalam ucapannya berkata, intipati kolaborasi termasuklah menjalankan program tanggungjawab sosial korporat, penggunaan aplikasi mobil BookDoc Activ dalam program Cabaran 50 juta Langkah Sihat yang akan diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang tahun UKM ke-50 di samping program tele-konsultasi kepada warga UKM serta program latihan industri berstruktur kepada pelajar UKM dari pelbagai bidang.

“UKM mengucapkan terima kasih kepada BookDoc atas kesudian menyokong usaha kami untuk menjadikan warga UKM mengamalkan gaya hidup sihat melalui program yang telah dirancang iaitu Cabaran 50 Juta Langkah Sihat.

“Untuk program latihan industri bersturktur yang ditawarkan, UKM berharap pelajar yang terpilih diberi peluang untuk mendampingi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan menimba ilmu sebanyaknya dalam melahirkan lebih ramai usahawan graduan,” tambah beliau di BIlik Mesyuarat Hal-ehwal Pelajar, Bangunan Pusanika, UKM Bangi.

CEO selaku pengasas Health4U Solutions, Dato’ Chevy Beh Yen San berkata, pihaknya berbesar hati kerana mampu menyediakan platform yang berguna kepada UKM seperti aplikasi BookDoc Activ yang dihasilkan boleh digunakan untuk memantau tahap kesihatan.

“Kami juga berharap dapat memberi inspirasi kepada ramai graduan untuk membuka perniagaan sendiri selepas tamat pengajian. Pada zaman sekarang, menjalankan perniagaan sendiri adalah lebih mudah dengan adanya pelbagai aplikasi dan teknologi yang mudah digunakan,” katanya.

Selain dari beberapa perjanjian kolaborasi yang telah dipersetujui, pihak BookDoc berharap untuk terlibat sama dalam bidang penyelidikan di UKM bagi memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

BookDoc – sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam servis profesional melibatkan penjagaan kesihatan dan aplikasi mobil. UKM adalah organisasi ketujuh berkolaborasi dengan BookDoc selepas Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, INTI College dan Universiti Putra Malaysia (UPM).