UKM Tumpu Revolusi Industri 4.0


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 9 MAC 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) amat mengalu-alukan penyelidikan antara IPT yang menjurus kepada revolusi industri 4.0, kata Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab.

Beliau berkata sedemikian semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UKM melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dengan UOW Malaysia KDU University College, baru-baru ini.

Katanya, menerusi jalinan ini pihak UKM akan memberikan kerjasama dalam penggunaan alat dan kemudahan makmal untuk kegunaan bersama bagi rakan-rakan dari UOW Malaysia KDU University College.  

“Seperti saranan dari pihak Menteri Pengajian Tinggi, institusi pendidikan perlu mewujudkan konsep institusi yang fleksibel, namun memberi akses kepada sistem pendidikan dan penyelidikan secara holistik kepada para pelajar dan ahli akademiknya.

“Saranan ini hanya boleh dicapai dengan adanya kerjasama antara IPT di Malaysia dengan semangat untuk meletakkan pendidikan negara pada tahap yang tinggi di peta akademik dunia.

“Selain penyelidikan, aktiviti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti penerbitan akademik antara dua universiti dan seterusnya menghasilkan kajian dari penyelidik tempatan ke standard antarabanga yang diiktiraf dunia

Beliau juga berharap jalinan kerjasama ini juga dapat membuka peluang mobiliti pelajar dalam membantu memperluaskan jaringan dan pertukaran pengalaman yang bakal menggalakkan kemahiran interpersonal pelajar seperti kemahiran pergaulan, komunikasi, keyakinan diri dan bersikap lebih terbuka.