Kursi Wakaf Sheikh Othman Sarawak Perkasa Umat Islam di Sarawak


Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Pengajian Islam

BANGI, 26 April 2022 – Kursi Wakaf Sheikh Othman Sarawak yang ditempatkan di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan bagi memperkasakan umat Islam di Sarawak dalam pelbagai aspek.

Pro-Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata matlamat utama penubuhan kursi tersebut adalah untuk perkasakan ekonomi digital, keterlibatan dalam perusahaan kecil dan sederhana, pertanian moden, pembangunan tamadun seperti wakaf dan baitulmal serta pemerkasaan generasi pemikir Islam Sarawak.

“Penubuhan kursi ini merupakan suatu permulaan kepada usaha yang lebih serius dalam merangka pelan pemerkasaan sosio-ekonomi masyarakat Islam di Sarawak.

“Saya percaya pihak UKM khususnya Fakulti Pengajian Islam (FPI) bersedia menyahut cabaran bagi memenuhi tuntutan tersebut,” katanya pada Majlis Lawatan YB Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak ke Fakulti pengajian Islam, UKM, di sini.

Beliau berkata pihak fakulti telah memberi biasiswa kepada seorang pelajar Sarawak bagi menjalankan penyelidikan dibawah kursi wakaf tersebut.

“Kita harap, untuk tahun-tahun akan datang lebih ramai lagi pelajar Sarawak mendapat tajaan biasiswa ini bagi menjalankan beberapa lagi penyelidikan bagi kursi wakaf ini,” katanya yang menjelaskan bahawa kursi wakaf tersebut akan diuruskan mengikut amalam syariah.

Sementara itu,  Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berharap kerjasama antara Kerajaan negeri Sarawak melalui Majlis Agama Islam Sarawak dengan UKM akan berjalan lancar dan segala perancangan yang dibuat akan mendatangkan hasil yang baik.

“Kursi Wakaf Othman Sarawak ini diwujudkan secara wakaf. Saya dimaklumkan bahawa kursi ini adalah yang pertama kaedah wakaf dilaksankan di Malaysia dan diharap ia  akan dapat membantu dalam menjalin kerjasama yang erat antara UKM dengan kerajaan Sarawak melalui MAIS dalam segala aspek.

“Sememangnya UKM merupakan universiti terbaik dalam menjalankan penyelidikan bagi memperkasakan masyarakat Islam di Sarawak,” kaanya.

Dalam lawatan tersebut, beliau bersama delegasinya termasuk Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin telah melawat galeri Syeikh Otman Sarawak yang terletak di FPI.

“Galeri ini menggambarkan secara keseluruhannya sejarah Islam pada abad ke-19 dahulu sehingga sekarang. Dengan adanya galeri ini, ia bakal menjadi sumber rujukan kepada pelajar yang ada di universiti ini dan juga masyarakat umum yang datang ke UKM untuk melihat sejarah pembangunan Islam di Sarawak,” katanya.