Pakar Farmasi UKM Digesa Cipta Vaksin Yang Boleh Diterima Semua Agama

RABU, 21 MEI 2014 10:42

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2014 – Suatu vaksin untuk demam selesema atau influenza yang dapat di terima oleh penganut semua agama harus dicipta oleh penyelidik farmasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Timbalan Naib Canselor (Pelajar dan Hal Ehwal Alumni) Prof Datin Nor Aziah Mohd Awal berkata terdapat sejumlah umat Islam dan Hindu yang curiga terhadap beberapa jenis vaksin atau ubat-ubatan yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Ketika menutup pertandingan Farmasi Klinikal anjuran Fakulti Farmasi di sini hari ini, Prof Nor Aziah seorang profesor Undang-undang berkata di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk menerima rawatan apabila disediakan untuk menjaga kesihatan mereka.

Akta itu memperuntukan sesiapa yang enggan membawa anak mereka untuk diberi suntikan apabila sesuatu wabak berlaku di negara ini atau di luar negara boleh didakwa di mahkamah kerana mengabaikan kewajipan kepada orang tanggungan.

Bagaimanapun terdapat persepsi bahawa sesetengah vaksin mungkin mengandungi sebatian yang berasal daripada khinzir  atau lembu masih berterusan dan menimbulkan syak wasangka dan juga bantahan secara terang-terangan terhadap rawatan yang diberikan.

Beliau menggesa vaksin yang dapat diterima umum dan tidak mempunyai sebatian organik haiwan dihasilkan.

Dari pandangan Islam adalah wajib bagi ahli sains mencari penawar yang dijamin ‘halal’ untuk semua.

“Ia bukan lagi Fardhu Kifayah, ia menjadi Fardhu Ain untuk mencari penawar sesuai,” kata Prof Nor Aziah.

Ahli farmasi juga berkewajipan untuk memberi kaunseling kepada pesakit dan pengguna mengenai penggunaan ubat-ubatan untuk mengelakkan salah faham yang boleh mendatangkan akibat buruk.

Undang-undang negara menetapkan dengan jelas bahawa mana-mana penawar atau ubat mesti menyatakan dengan jelas keberkesanannya kepada pesakit. Kegagalan mematuhi akuan yang dibuat oleh syarikat farmaseutikal dalam iklan mereka juga adalah suatu kesalahan di sisi Undang-Undang Kontrak.

“Saya serta setiap pelajar Undang-Undang tentu akan ingat kes terkenal pertama melanggar Undang-undang Kontrak dari segi perubatan di mana sebuah syarikat perubatan telah disaman oleh pesakit selepas mengguna produk ‘Bola Asap’ untuk demam selesema di Britain pada tahun 1891.”

Prof Nor Aziah merujuk kepada keputusan kes Carlill lawan Syarikat Carbolic Smoke Ball (1892) itu dalam Undang-Undang kontrak British oleh Mahkamah Rayuan, yang menyatakan bahawa pihak yang menawarkan sesuatu dalam iklan mereka terikat dengan tawaran itu.

Pertandingan Farmasi Klinikal yang berakhir hari ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Pelajar Farmasi UKM dan Persatuan Farmasi Malaysia dan mempunyai suatu kategori yang menekankan kebenaran pengiklanan serta kepentingan memberi kaunseling kepada pelanggan.

Turut hadir pada majlis itu Dekan Fakulti Farmasi Prof Dr Ibrahim Jantan, Timbalan Dekan Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin dan Naib Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Abida Syed M Haq.