Dr Koh Chee Teck Pegang Pepatah ‘Man Jadda Wa Jada’

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

‘Man Jadda Wa Jada.’

BANGI, 5 November 2016 – Itulah pepatah  yang di pegang oleh Dr. Koh Chee Teck, 24, penerima Anugerah Pelajaran DiRaja Majlis konvokesyen ke-44 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pepatah tersebut, yang berasal dari Arab, membawa maksud “siapa yang bersungguh-sungguh, pasti akan mendapat hasil” telah membangkitkan motivasi Koh Chee Teck, yang berjaya mendapat gred A bagi keseluruhan pencapaiannya, sepanjang menuntut Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Perubatan UKM.

“Saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara yang dilakukan dan ingin mencapai tahap tertinggi dalam hidup, malah, saya sentiasa bertanya kepada diri saya, kenapa saya memilih bidang ini?

“Hakikatnya, saya ingin berkhidmat untuk masyarakat dan memberi sesuatu perubahan dalam bidang perubatan,” katanya.

Beliau yang merupakan anak kepada seorang bekas pemandu lori berkata, ibu bapanya adalah pendorong kepada kejayaannya.

“Selain keluarga saya, pensyarah dan rakan-rakan juga sentiasa membantu dan berkongsi ilmu sehingga saya berjaya ke tahap ini,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa cabaran terbesar baginya sepanjang bergelar mahasiswa UKM adalah memberi tumpuan dalam pelajaran kerana beliau sangat aktif dengan aktiviti luar kuliah.

“Saya sentiasa memastikan  jadual belajar adalah keutamaan dan sentiasa menyusun jadual dengan baik supaya aktiviti kokurikulum tidak menganggu pelajaran,” jelasnya.

Sepanjang berada di UKM  beliau aktif melibatkan diri dalam Asian Medical Student Association (AMSA) dan Asian Medical Student Exchange Programme (AMSEP).

Dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, Koh  berpeluang ke luar negara, seperti Jepun dan Filipina untuk memperluas pengetahuannya dalam bidang perubatan serta bertukar pandangan tentang ilmu perubatan bersama negara luar.

“Nasihat saya kepada mahasiswa lain, jangan lari dari tujuan asal anda disini dan tanya pada diri anda kenapa anda berada disini dan apakah matlamat yang ingin anda capai.

“Anda perlu sentiasa mempunyai minat yang tinggi dalam bidang yang anda diceburi,” katanya.ukmnewsportal-eg

2