Pasangan Suami Isteri Terima Ijazah Sarjana


Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham

Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 28 Oktober 2017 – Pasangan suami isteri berkongsi kegembiraan apabila sama-sama menerima ijazah sarjana pada Sidang Canselor Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kali ke-45.

Firli Amin Ismail, 35, telah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Sains Politik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, manakala isterinya, Nur Diyana Zakariah, 34, mendapat Ijazah Sarjana Pendidikan Sains di bawah Fakulti Pendidikan.

Firli berkata antara cabaran terbesarnya adalah membahagikan masa diantara berkerja dan menyelesaikan tugasan belajar.

“Saya belajar secara separuh masa, jadi saya perlu membahagikan masa diantara kerjaya dan belajar.

“Waktu pejabat bermula dari jam lapan pagi hingga lima petang, kemudian sambung kelas sehingga malam.

“Jadi, saya selalu menyelesaikan tugasan belajar ditengah malam selepas anak-anak tidur,” katanya.

Manakala, bagi Diyana, cabarannya bermula apabila beliau melahirkan anak ketika masih belajar.

“Kadangkala, saya terpaksa membawa anak ke kelas. Malah, saya juga pergi ke kelas semasa masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak,” katanya.

Menurut keduanya perkara penting apabila kedua-duanya belajar adalah saling bantu membantu terhadap segala tugas berkaitan keluarga mahupun akademik.

Mereka juga turut menasihatkan kepada para ibubapa agar tidak menjadikan keluarga atau anak sebagai alasan tidak mahu sambung belajar, sebaliknya mesti pandai menguruskan masa  sebaiknya dan perlu berkorban pada segala perkara yang sia-sia.

Ketika ditanya perancangan masa hadapan, mereka menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran diperingkat Ijazah Doktor Falsafah (Phd) bersama.